Berita Utama

Desak tarik balik lantikan Eric Paulsen anti-Islam sebagai ahli MPKM

Pernah tuduh JAKIM sebar fahaman ekstremis melalui khutbah

Oleh Athirah Huda Zalhe 

BANGI, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dilihat kurang bijak dan hanya menjatuhkan kredibiliti kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila melantik individu anti-Islam, Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, Eric Paulsen sangat terkenal dengan imejnya membenci Islam, dan pernah mengeluarkan kenyataan bersifat rasis dan ektremis. 

Bahkan katanya, Eric Paulsen juga terkenal mempromosikan dan menyokong kuat pelbagai aliran sesat serta fahaman yang merosakkan struktur sosial seperti liberalisme, humanisme, hedonisme, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta seks songsang. 

Mewakili umat Islam yang terguris dengan keceluparan Eric Paulsen, beliau mendesak Saifuddin supaya menarik semula pelantikan berkenaan dan menggantikan dengan individu yang lebih berkemampuan serta profesional. 

Lukman berkata  Eric Paulsen sering mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan amat tidak profesional, contohnya menuduh JAKIM menyebarkan fahaman ekstremis melalui khutbah Jumaat.

“Beliau juga memperlekehkan aurat wanita yang disyariatkan oleh Islam dan mempersendakan pemakaian burqa oleh wanita Islam di Eropah (yang diharamkan oleh kerajaan Denmark). 

“Adalah amat ironik, beliau seorang peguam yang memperjuangkan hak asasi manusia tetapi menghentam hak setiap umat Islam yang merdeka di Malaysia sebagai tanah air sendiri untuk mengamalkan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama yang paling dominan di tanah bertuah ini,” katanya kepada Ismaweb.net. 

Saifuddin pernah melantik Eric Paulsen menjadi wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2019-2021 di bawah beliau ketika menjadi Menteri Luar Negeri sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Pelantikan itu pernah mendapat tentangan dan bantahan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan melalui kenyataan pada 14 dan 15 Januari 2019.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button