Dunia

Israel terus ceroboh, jajah hak rakyat Palestin: OIC

Gesa PBB, badan antarabangsa tentang dasar zalim Tel Aviv

DOHA, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam rancangan kontroversi rejim pengganas Israel untuk merampas sebahagian besar Tebing Barat yang diduduki, kerana didakwa menggugat proses perdamaian Palestin-Israel. 

OIC menyifatkan rancangan negara tidak diiktiraf itu hanya meningkatkan usaha penjajahan dan pencerobohan yang jelas bertentangan dengan hak serta undang-undang rakyat Palestin, selain melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

OIC mahu rejim Tel Aviv bertanggungjawab terhadap kesan daripada dasar penjajahannya di wilayah Palestin, termasuk rancangan menakluki sebahagian besar tanah itu. 

Organisasi itu menggesa Majlis Keselamatan PBB, UNHCR serta badan antarabangsa lain menentang dasar zalim Israel itu, serta mengutuk mana-mana pihak yang menyokong langkah berkenaan. 

OIC juga menggesa semua negara anggota mengambil langkah politik, undang-undang dan ekonomi yang sewajarnya terhadap rancangan Israel, dan mengambil langkah pencegahan terhadap negara, pegawai atau individu yang menyokong tindakan berkenaan. 

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang mengangkat sumpah jawatan untuk penggal baharu pada 17 Mei, telah menetapkan 1 Julai sebagai permulaan perbincangan Kabinet untuk memperluaskan ‘kedaulatan’ Israel di Tebing Barat.

Susulan rancangan itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengisytiharkan berakhirnya semua perjanjian yang ditandatangani Israel dan Amerika Syarikat (AS) pada 19 Mei lalu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button