Berita Utama

Kariah tidak dapat solat Jumaat tidak berdosa: Mufti Selangor

Mereka boleh ganti dengan kerjakan solat Zuhur

SHAH ALAM, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Tidak menjadi dosa ke atas mereka yang tidak menerima ‘kad jemputan’ untuk menunaikan solat Jumaat di 39 masjid terpilih di negeri ini jika tidak menunaikan solat berkenaan, jelas Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Menurutnya mereka yang tidak terpilih menjadi 40 jemaah ini disebabkan langkah pencegahan diambil kerajaan bagi membendung COVID-19 boleh menggantikan solat berkenaan dengan solat Zuhur.

“Sebagai umat Islam, kita perlu akur dengan ketetapan ini walaupun berat untuk diterima. Namun, ulil amri (pemerintah) bertanggungjawab melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang terbaik demi menjaga kemaslahatan umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Tamyes berkata ketetapan itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini wabak COVID-19 yang belum ada penawarnya, maka langkah pencegahan untuk menjaga keselamatan dan nyawa tetap diteruskan berlandaskan prinsip maqasid syariah.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dilakukan dengan 40 jemaah, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, di 39 masjid terpilih di negeri itu bermula hari ini.

Bagaimanapun, pelaksanaan solat Jumaat harus mengikut garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Garis panduan JAIS menetapkan mana-mana umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat perlu membuat permohonan secara dalam talian menerusi Google Form atau mengisi borang yang disediakan oleh pihak masjid dan sekiranya memenuhi SOP, mereka akan diberi ‘kad jemputan’ tersebut.

Bagi jemaah yang tidak menerima jemputan, mereka perlu menunggu untuk solat Jumaat pada minggu berikutnya dan dilarang hadir ke masjid sebaliknya menunaikan solat zuhur di rumah masing-masing. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button