Berita Utama

Kerajaan tak terlibat pelan selamat syarikat penerbangan

Khazanah tak pernah dengar suntikan modal RM5 bilion kepada MAB

KUALA LUMPUR, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Kerajaan tidak akan terlibat dalam pelan menyelamatkan syarikat penerbangan walaupun terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 berikutan perniagaan mereka dijalankan secara komersial, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Kementerian Kewangan (MoF) tidak terlibat dalam mana-mana pelan menyelamat untuk membantu syarikat penerbangan tetapi kami akan membantu industri (penerbangan),” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd tidak mendengar apa-apa berita mengenai suntikan modal sebanyak RM5 bilion kepada Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Menurut laporan oleh Bloomberg, Khazanah sedang mempertimbangkan untuk menyuntik modal baharu bernilai sehingga RM5 bilion (US$1.2 bilion) untuk membantu MAB mengurangkan impak daripada COVID-19.

“Ini kali pertama saya mendengar laporan itu (suntikan modal)…Saya tidak mengulas spekulasi dan secara jujur, saya tidak pernah mendengarnya daripada Lembaga Pengarah atau Pengarah Urusan Khazanah bahawa mereka akan menyuntik dana kepada Malaysia Airlines.

“Tetapi jika mereka berbuat demikian, ia terpulang kepada syarikat tersebut. Setahu saya, Kementerian Kewangan tidak memberi apa-apa peruntukan kepada Malaysia Airlines,” katanya.

Tengku Zafrul adalah salah seorang ahli Lembaga Pengarah dana kekayaan negara itu.

Industri penerbangan suram berikutan penutupan sempadan global untuk memerangi penularan COVID-19. Ini menjejaskan syarikat penerbangan dan mengurangkan operasi dilihat sebagai antara pilihan untuk kekal relevan dalam perniagaan.

Dilaporkan MAB telah meminta 13,000 pekerjanya untuk mengambil cuti tanpa gaji secara sukarela berikutan COVID-19, manakala AirAsia Bhd telah menamatkan perkhidmatan 111 kru kabin, 172 juruterbang dan 50 jurutera. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close