Berita Utama

Langkah Malaysia urus pelarian Rohingya terpuji: ISMA

Kerajaan wajar beri tumpuan kepada rakyat, bergelut akibat COVID-19

BANGI, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berpandangan, isu pelarian Rohingya perlu dilihat sebagai suatu isu kemanusiaan antarabangsa yang memerlukan pembelaan oleh semua pihak menurut kemampuan masing-masing.

Timbalan Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, penolakan kerajaan Malaysia terhadap kemasukan pelarian Rohingya ke negara ini perlulah diambil sebagai jalan penyelesaian terakhir setelah diusahakan jalan yang lain.

“Berkaitan dengan kejadian di perairan Langkawi baru-baru ini, ISMA merasakan bahawa anggota keselamatan dan penguat kuasa Malaysia melakukan suatu langkah yang betul dan terpuji apabila bertindak menyelamatkan pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan dari bot yang sengaja dibocorkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada dasarnya, Ustaz Fauzi berkata, ISMA bersetuju dengan sikap kerajaan Malaysia yang berhasrat untuk menghantar semula pelarian yang diselamatkan di perairan Langkawi baru-baru ini ke Bangladesh atau negara-negara ketiga. 

“Adalah wajar bagi pihak kerajaan memberi tumpuan kepada warganegara sendiri yang sedang bergelut dengan krisis akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ISMA berharap agar kerajaan tidak mengabaikan kebajikan pelarian-pelarian Rohingya yang telah berada di dalam negara, yang dilaporkan berjumlah sekitar 200,000 orang.

“Kerajaan harus meningkatkan usaha di peringkat serantau dan antarabangsa untuk memastikan penyelesaian terbaik dan tuntas terhadap nasib mereka dapat dicapai. 

“Ini termasuk memberi tekanan kepada Myanmar supaya menghentikan polisi-polisi yang zalim terhadap etnik Rohingya ini seterusnya mengembalikan hak kewarganegaraan kepada mereka,” katanya.

Selain itu, Ustaz Fauzi berkata, pihak Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) turut diseru untuk meningkatkan usaha, kerjasama dengan pihak kerajaan dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan hak-hak kemanusiaan pelarian dapat dipenuhi.

Terdahulu, 269 etnik Rohingya yang dipercayai menempuh perjalanan selama hampir empat bulan dari kem pelarian di Myanmar dilaporkan berjaya mendarat di Langkawi.

Sumber berkata, bot berkenaan dipercayai membawa lebih 500 etnik Rohingya dan 200 daripadanya dilaporkan mati ketika dalam perjalanan, namun pihak berkuasa masih menyiasat perkara berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button