Berita UtamaDunia

Laos isytihar menang perangi COVID-19

Tiada kes baharu dilaporkan 59 hari berturut-turut

HANOI, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Laos mengumumkan negara itu berjaya memerangi wabak COVID-19 selepas semua 19 pesakit diizin keluar hospital dan tiada kes baharu dilaporkan selama 59 hari berturut-turut, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Perdana Menteri, Thongloun Sisoulith pada sidang media di Vientiane berkata, kejayaan itu hasil kerjasama diberikan semua pihak termasuk rakyat yang melaksanakan langkah-langkah pencegahan dengan penuh tanggungjawab.

Terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada kemenangan itu, termasuk langkah pencegahan awal yang diambil dan keutamaan diberikan dalam usaha memerangi pandemik oleh kepemimpinan negara.

Sokongan dan bantuan yang tepat pada masanya dari semua sektor, organisasi antarabangsa dan negara luar turut mendorong kepada kejayaan usaha ini, tambah beliau.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan dan mengkaji langkah-langkah pencegahan serta kawalan bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan operasi perniagaan dibuka semula secara bertahap.

Laos mengumumkan dua kes pertama COVID-19 pada 24 Mac dan pesakit terakhir diizin keluar hospital pada Selasa (9 Jun). Negara ini berjuang memerangi COVID-19 sejak lebih dua bulan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close