Berita Utama

Masjid Putra dibuka untuk Solat Jumaat

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin masih ditutup kerana berada dalam zon kuning

PUTRAJAYA, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Masjid Putra, Putrajaya dibuka semula untuk solat Jumaat dan solat jemaah selepas pengurusan masjid mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Masjid itu yang berada dalam zon hijau kini kembali dibuka selepas 3 bulan tidak membenarkan kunjungan jemaah atas usaha memerangi penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin masih ditutup untuk aktiviti keagamaan kerana ia berada dalam zon kuning.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Taska Mawaddah di bangunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mengumumkan sebanyak 25 masjid dan 31 surau dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenarkan mengadakan solat Jumaat.

Selain menambah jumlah jemaah, sistem penggiliran atau sebarang mekanisme yang sesuai perlu dilaksanakan oleh jawatankuasa kariah masjid serta surau dalam zon hijau.

Ia bagi memberi peluang orang ramai hadir solat berjemaah selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button