Berita Utama

Mohon kerajaan pertimbang operasi maahad tahfiz

Benarkan pelajar sudah hafal 15 juzuk ke atas di madrasah

PUTRAJAYA, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Sekretariat Khas Pandemik COVID-19 Institut Tahfiz Negara memohon supaya kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan pembukaan semula operasi semua institusi dan maahad tahfiz pada 24 Jun ini.

Permohonan itu dibuat menerusi satu memorandum yang diserahkan Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al Quran Malaysia, Manolito Mohd Dahlan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di bangunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini hari ini.

Manolito berkata, pihaknya telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di institusi pengajian tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Maahad Tahfiz Tarbiah Al Ummah berkata, pihaknya juga sudah mengadakan operasi nyah kuman di beberapa pusat tahfiz termasuk menyediakan SOP khusus dengan penambahan Akta Keselamatan Dan Pekerjaan.

“Sekiranya tidak dapat memberi kebenaran secara penuh, kami mohon agar diberi kebenaran beroperasi secara berperingkat.

“Mungkin pada permulaan ini hanya pelajar yang menghafal 15 juzuk ke atas sahaja dibenar belajar di madrasah,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang penutupan institusi berkenaan susulan penularan COVID-19, kebanyakannya berhadapan masalah kewangan untuk menjelaskan bil utiliti, sewa dan gaji tenaga pengajar.

“Malah terdapat sebahagian institusi tahfiz terpaksa ditutup disebabkan kebanyakannya bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai,” katanya.

Sebanyak tujuh gabungan persatuan turut hadir bagi menyampaikan memorandum berkenaan mewakili 1,500 maahad tahfiz swasta di seluruh negara.

Ketika ini terdapat sebanyak 7,500 pelajar tahfiz menuntut di 1,500 pusat tahfiz swasta di seluruh negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button