Berita Utama

Polis pantau kegiatan lumba haram, konvoi motosikal

Tindakan undang-undang seperti biasa, tiada beza ketika PKP

KUALA LUMPUR, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan pemantauan terhadap sebarang kegiatan lumba haram dan aktiviti konvoi bermotosikal, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, Skuad Unit Risikan Operasi (Skuad 42) JSPT akan membuat pemantauan terhadap aktiviti itu, termasuk membendung kegiatan samseng jalanan.

Beliau berkata, tindakan undang-undang adalah seperti biasa dan tiada perbezaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Jika melakukan kesalahan seperti memandu dalam keadaan laju, melulu, dan bahaya serta mabuk, mereka ini akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

“Skuad 42 JSPT sentiasa dalam keadaan bersedia termasuk meningkatkan lagi Op Mabuk,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai aktiviti konvoi motosikal yang kini dibenarkan sepanjang PKPP.

Azisman berkata, setakat ini tiada laporan lumba haram dan aktiviti konvoi motosikal dalam jumlah besar diterima pihaknya, namun polis sentiasa memantau dengan mengadakan sekatan jalan raya khas, dari semasa ke semasa.

Ahad lepas,  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengumumkan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat digantikan dengan PKPP mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri dan aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal.

Mengenai keadaan trafik susulan kebenaran merentas negeri Azisman berkata, JSPT menjangkakan jumlah kenderaan akan bertambah pada hujung minggu ini dan menasihatkan orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button