Berita UtamaDunia

Rejim China tindas imam Uyghur tanpa alasan munasabah

Beijing sengaja tuduh Uyghur sebar fahaman ekstremisme

WASHINGTON, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Golongan agamawan dan imam dari kalangan etnik Islam Uyghur antara mangsa paling ramai ditindas oleh rejim China.

Organisasi sokongan dan bantuan Uyghur yang berpangkalan di Norway, Uyghur Hjelp memberitahu pemberita, kerajaan Beijing telah menahan sekurang-kurangnya 518 tokoh agama dan imam Uyghur.

Uyghur Hjelp berkata, terdapat beberapa imam yang bekerja di Beijing kini telah dihukum penjara untuk tempoh lama, manakala ada segelintir daripadanya telah terkorban ketika berada di kem tahanan.

Salah seorang imam yang ditahan, Abdurkerim Memet, dijatuhi hukuman 10 tahun penjara sehingga 2017.

Anak perempuannya, Hajihenim Abdukerim yang berada di Makkah berkata, China telah menyembunyikan tempat tinggal ayahnya selama bertahun-tahun, sehingga salah seorang kenalannya di Xinjiang memberitahu mengenai penahanan itu.

Abdukerim yang berusia 61 tahun itu telah bekerja di bawah kerajaan China sebelum ditahan, selepas mengimamkan solat di sebuah masjid di daerah Yengisar, di selatan Xinjiang.

Keluarganya telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kejam rejim China bahawa beliau telah menyebarkan fahaman ekstremisme di kalangan etnik Uyghur.

April lalu, jurucakap rejim China, Elijan Anayit pula menafikan dakwaan media Amerika Syarikat (AS) mengenai penahanan para agamawan dan imam Uyghur.

Bagaimanapun, beberapa pakar mendakwa, rejim China sengaja menuduh bahawa Uyghur menyebarkan fahaman ekstremisme agama, sebagai alasan untuk menindas etnik minoriti itu.

Rejim komunis China sedang melakukan pembersihan etnik Uyghur secara menyeluruh kerana lebih sejuta orang Uyhgur dipenjarakan.

Selain itu, umat Islam Uyghur ditahan atas sebab yang tidak munasabah seperti berpuasa, memohon pasport terutamanya ketika mahu menunaikan haji, selain melanggar dasar kelahiran rasmi China iaitu mempunyai terlalu ramai anak.

Lebih teruk, komunis China yang menentukan imam, bahan ceramah dalam aktiviti keagamaan, tempat untuk diadakan segala aktiviti keagamaan dan versi al-Quran yang digunakan. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button