Berita Utama

Tun M sindir mahu tubuh parti ‘Apa Aku Dapat’

Tidak perlu yuran, boleh mohon jadi ahli, presiden

BANGI, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis bercadang mahu menubuhkan sebuah lagi parti politik baharu selepas parti yang diasaskannya – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – sudah berpecah kepada dua kem. 

Mahu menamakannya ‘Parti Apa Aku Dapat (AAD)’, Dr Mahathir berkata, kebanyakan orang Melayu suka menubuhkan parti politik, dan sebab itulah beliau menubuhkan Bersatu satu ketika dahulu. 

Bersatu ditubuhkan secara rasmi pada September 2016 yang dikhususkan kepada orang Melayu, yang dikatakan sebagai pengganti kepada UMNO. 

Bagaimanapun, sejak Februari lalu, parti berkenaan berdepan konflik dalaman apabila berpecah kepada dua kem di antara Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir. 

“Sebab itu saya ingin tubuh satu lagi parti politik Melayu. Nama parti ini ialah Parti AAD atau ‘Parti Apa Aku Dapat’. 

“Tujuan memperkayakan orang Melayu yang belum dapat,” katanya secara sinis.

Dr Mahathir berkata, parti ini ditubuh bagi melantik pegawai dalam badan yang akan diwujudkan khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang belum mendapat apa dimahukan. 

“Siapa yang dapat boleh buat permohonan untuk jadi ahli, atau presiden, timbalan presiden, naib presiden dan lain-lain. Yuran tidak perlu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button