416 kakitangan barisan hadapan KKM positif COVID-19
80 peratus dapat jangkitan daripada luar hospital

PUTRAJAYA, 21 Syawal 1441H, Sabtu – Seramai 416 kakitangan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan positif COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun, 80 peratus daripada jumlah itu mendapat jangkitan daripada luar hospital.
“Setakat ini kita tiada data keseluruhan tetapi kita hanya ada data untuk KKM. Barisan hadapan KKM seramai 416 positif COVID-19 tetapi 80 peratus daripada mereka mendapat jangkitan daripada luar hospital.
“Manakala, ada 20 peratus dapat jangkitan daripada pesakit atau rakan mereka. Itu data yang kita ada untuk barisan hadapan KKM,” katanya seperti dipetik Astro Awani.
Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai jumlah barisan hadapan pihak berkuasa lain yang positif COVID-19.
“Namun, untuk data barisan hadapan seperti polis, ATM, Rela, kita tiada. Namun kita boleh kumpul data itu nanti,” ujarnya.