Berita Utama

COVID-19: 43 kes baharu, 38 penularan dalam negara

15 kes dalam kalangan rakyat libatkan 7 buah negeri

PUTRAJAYA, 21 Syawal 1441H, Sabtu – Sebanyak 15 kes COVID-19 dalam kalangan rakyat negara ini melibatkan tujuh negeri adalah antara 38 kes penularan tempatan wabak itu yang dilapor hari ini.

Kes penularan di dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia itu melibatkan satu kes di Kuala Lumpur; empat kes di Selangor; lima kes di Negeri Sembilan; dua kes di Melaka; dan masing-masing satu kes di Pahang, Perak dan Sabah.

Ketua Pengarah Kasihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tujuh daripada 15 kes itu adalah hasil saringan yang dilakukan di pusat-pusat tahfiz.

Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 43 kes dilapor hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 8,445 kes.

“Daripada 43 kes baharu yang dilapor, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warga Malaysia dan satu kes bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Daripada 38 kes penularan di dalam negara, 23 kes adalah bukan warganegara manakala 15 kes adalah dalam kalangan warga Malaysia,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Malaysia pernah mencatat kes COVID-19 secara harian pada paras satu angka dengan merekodkan kes terendah iaitu dua kes pada 10 Jun lepas, namun ia kembali meningkat ke dua angka pada 11 Jun iaitu 31 kes dan 33 kes, semalam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button