Berita Utama

Cukuplah 20 tahun! Tiba masa Tun M, Anwar gantung ‘raket’

Negara perlukan reformasi politik drastik dipimpin generasi muda

BANGI, 21 Syawal 1441H, Sabtu – Sudah sampai masanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantung ‘raket’ dan bersara dengan aman, memandangkan Malaysia tidak kurang dengan pemimpin muda berkaliber untuk mentadbir negara.

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, perebutan sengit dalam menentukan siapa calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) bukan lagi satu rahsia.

Katanya, mesyuarat blok pembangkang antara pemimpin tertinggi PH dan Dr Mahathir baru-baru ini, tanpa apa-apa keputusan konkrit jelas membuktikan hal tersebut.

“Bagi rakyat pergaduhan antara kedua-duanya selama lebih 20 tahun tidak menguntungkan mereka dan negara, bahkan angkara Dr Mahathir serta Presiden PKR itu politik negara tidak harmoni.

“Membiarkan negara dipimpin oleh mereka yang masih membawa politik ‘dinasour’ adalah satu kesilapan besar yang membawa padah dengan gejala habuan politik, salah guna kuasa, rasuah dan kronisme berleluasa, tidak berubah dan dengan cerita yang sama.

“Mereka yang pandai mengampu tanpa had dan berlakon dalam arena politik diberi ganjaran dengan perlantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Dewan Negara dan lain-lain. ‘Rule of Law’ tidak lagi menjadi amalan dalam pemerintahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Badhrulhisham menggesa, Dr Mahathir serta Anwar memberi peluang kepada generasi muda untuk mengemudi negara yang mana terbukti beberapa negara yang mempunyai kepimpinan muda seperti New Zealand mampu membawa negara mereka ke arah yang lebih baik dengan idea bernas dan berinovasi.

“Negara memerlukan reformasi politik yang drastik, pelan perancangan ekonomi yang mantap, pembangunan bersepadu sektor sosial, sistem kehakiman yang bebas dan bersih serta rombakan sistem pendidikan terancang, untuk menghadapi norma baru akibat COVID-19.

“Semoga negara kita yang tercinta ini akan dikurniakan oleh Allah SWT pemimpin-pemimpin yang benar-benar berwibawa, ikhlas dan berjiwa rakyat, bukan pemimpin-pemimpin yang hanya mengejar dan mengira-ngira bilangan kerusi Parlimen cukup untuk memerintah,” sindirnya.

Terdahulu, semua pemimpin PH yang menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH mengunci mulut mengenai mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat PKR.

Apabila ditanya mengenai perincian mesyuarat tersebut, Dr Mahathir enggan mendedahkan sebarang perincian.

Bagaimanapun, satu kenyataan bersama PH, Bersatu dan Warisan yang dikeluarkan sejurus mesyuarat itu berakhir mengatakan bahawa mesyuarat yang dipengerusikan Anwar itu menyaksikan perbincangan secara menyeluruh mengenai pendirian setiap parti dan menampakkan kemajuan yang amat positif.

Sebelum ini, sumber dalaman PH mendedahkan bahawa Dr Mahathir dan Anwar difahamkan akan memuktamadkan usaha PH mengambil alih kerajaan yang kini diterajui Perikatan Nasional (PN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button