Berita Utama

Hilang kepercayaan kepada Anwar, ADUN Sementa keluar PKR

Presiden, pentaksubnya juga dilihat gagal jalankan amanah

SHAH ALAM, 21 Syawal 1441H, Sabtu – Timbalan Wanita PKR yang digantung keahliannya Dr Daroyah Alwi bersama 35 pemimpin di peringkat pusat, negeri, dan cabang, meletakkan jawatannya serta keluar daripada parti berkenaan bermula hari ini, dan bergerak sebagai bebas.

Dr Daroyah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, yang turut meletakkan semua jawatannya dalam PKR berkata, keputusan berkenaan dibuat berikutan hilang rasa yakin dan percaya kepada Presiden Parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan.

“Saya sudah hilang rasa yakin dan percaya kepada presiden dan kepimpinan parti, yang alpa tentang idealisme perjuangan serta hala tuju parti yang kini lebih membawa kepada perpecahan, presiden parti dan pentaksubnya juga telah dilihat gagal menjalankan amanah majoriti anggota yang memilih mereka,” katanya di sidang media khas di sini hari ini.

Dr Daroyah berkata, turut keluar daripada parti berkenaan pada hari ini seramai 35 orang pemimpin PKR di peringkat pusat, negeri dan cabang.

“Antara yang turut keluar bersama saya pada hari ini adalah Naib Ketua Wanita PKR Selangor Salmah Ismail dan Shoba Selvarajoo, Timbalan Ketua PKR Cabang Kapar K. Vasantha Kumar, Pengerusi Tetap PKR Cabang Kapar Norkhalim Mohamed, dan Setiausaha PKR Cabang Kapar Mohd Ruzaini Mohd Sani,” katanya.

Tambah Dr Daroyah beliau amat terkilan dengan pemecatan dan penggantungan anggota PKR, terutamanya melibatkan individu yang telah lama berjasa memperkasakan parti sejak penubuhannya pada 1999.

Katanya lagi dengan peletakkan jawatannya, beliau tidak lagi terlibat dengan kancah perebutan kuasa politik dan akan menumpukan sepenuh perhatian menjaga kebajikan penduduk kawasan yang diwakilinya.

Ditanya mengenai jawatan Timbalan Speker Dewan Undangan Selangor Dr Daroyah berkata, beliau turut meletakkan jawatan berkenaan dan akan menulis surat seberapa segera, untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

Mengulas mengenai penyertaan dalam parti politik lain Dr Daroyah berkata, beliau belum lagi melihat ke arah itu, tetapi akan lebih mesra kepada Perikatan Nasional yang membentuk kerajaan pusat.

Komposisi Adun di Selangor kini terdiri daripada PKR 18 kerusi, DAP (16) Amanah (lapan) BERSATU (lima) UMNO (lima), PAS (satu) dan Bebas (tiga). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button