Berita Utama

Ismail Sabri kesal jadi mangsa berita palsu

Kononnya beliau tak alukan kehadiran warga Singapura ke negara ini

PUTRAJAYA, 21 Syawal 1441H, Sabtu – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa kesal dengan penyebaran berita palsu kononnya beliau tidak mengalu-alukan kehadiran warga Singapura ke negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan menyifatkan penyebaran berita palsu itu sebagai satu tindakan jahat yang boleh mengeruhkan hubungan antara Malaysia dan Singapura.

“Saya telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

“Berita palsu itu mengatakan kononnya saya mengeluarkan kenyataan bahawa kalau (warga Singapura) hendak datang (ke Malaysia) setakat isi petrol, cuci kereta, makan malam dan sebagainya tak payah datanglah,” tambahnya.

Beliau berkata ketika ini Malaysia masih menutup pintu sempadannya kepada semua warga asing, termasuk dari Singapura, dan menurutnya ucapan beliau turut disiarkan dalam bentuk visual dan audio yang diputar belit, melibatkan alih suara.

“Saya tahu rakyat Malaysia mungkin kenal (cam) suara saya. Mungkin rakyat Singapura tidak melihat siaran langsung sidang media di sini setiap hari, jadi mungkin rakyat Singapura tidak tahu,” katanya lagi.

Sementara itu Ismail Sabri berkata setakat semalam, 266 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan SKMM berhubung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19, dan daripada jumlah itu 179 masih dalam siasatan, 30 kes telah didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 18 telah mengaku bersalah.

Mengenai Operasi Benteng yang merujuk kepada kawalan sempadan negara melibatkan angkatan tentera, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM); Ismail Sabri berkata ia bertujuan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang tanpa izin bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata sejak 1 Mei sehingga semalam, 723 pendatang tanpa izin dan 138 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama menerusi lorong-lorong tikus, dan turut ditahan adalah 12 individu yang disyaki penyeludup, serta 15 kapal.

“Agensi penguatkuasaan juga mengusir 164 pendatang tanpa izin, enam tekong serta 27 kapal yang cuba membolosi kawasan sempadan negara. PDRM turut membuat 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 38,612 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Tambah beliau, PDRM turut menahan tiga warga asing di sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close