Berita Utama

JAIS buka semua kaunter perkhidmatan mulai Isnin

Pelanggan diminta patuh panduan, pastikan tidak bergejala

BANGI, 21 Syawal 1441H, Sabtu – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan beroperasi sepenuhnya dan membuka semula semua perkhidmatan kaunter yang ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta perkhidmatan mengikut janji temu ketika PKP Bersyarat (PKPB) bermula 15 Jun ini. 

Pengarah JAIS dalam kenyataan berkata, keputusan itu diambil selaras dengan ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Surat Pekeliling SUK Selangor bertarikh 9 Jun 2020. 

Sehubungan itu, katanya, semua urusan berkaitan dengan hal ehwal Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR) orang Islam boleh diperolehi di semua sembilan kaunter di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) seluruh negeri Selangor. 

“Pelanggan yang telah membuat janji temu semasa PKPB akan diberi laluan awal untuk berurusan dan diikuti pelanggan yang hadir secara biasa. 

“Perkhidmatan kaunter NCR dibuka bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari bekerja,” katanya, hari ini. 

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi perkhidmatan runding cara kekeluargaan, pelanggan masih perlu mendapatkan janji temu terlebih dahulu di laman web eprihatin.jais.gov.my sebelum hadir berurusan di jabatan. 

Katanya, operasi dan perkhidmatan lain di bawah JAIS turut dibuka sepenuhnya membabitkan hal ehwal Khidmat Pengurusan, hal ehwal Pendidikan Islam, hal ehwal Pengurusan Masjid dan Surau, hal ehwal Pengurusan Halal, hal ehwal Pengurusan Dakwah, hal ehwal Penyelidikan dan Pembangunan serta penguatkuasaan undang-undang mengenai hal ehwal Islam. 

“Operasi penuh dan perkhidmatan ini termasuk skop operasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PAID di seluruh Selangor. 

“Semua urusan berkaitan perkhidmatan ini dibuka bermula 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari dan disambung semula pada 2 petang hingga 4.30 petang (Isnin hingga Khamis) manakala pada hari Jumaat perkhidmatan dibuka 8.30 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung pada 2.45 petang hingga 4.30 petang,” katanya. 

Beliau berkata, selaras dengan norma baharu, pelanggan diminta untuk mematuhi langkah-langkah utama kawalan penularan COVID-19, garis panduan yang ditetapkan JAIS dan setiap arahan petugas yang mengawal pergerakan pelanggan di semua cawangan. 

“Selain itu, pihak jabatan juga ingin menyarankan kepada semua pelanggan untuk berada dalam keadaan sihat, tidak bergejala dan sentiasa memakai topeng penutup hidung dan mulut semasa berurusan di jabatan ini. 

“Untuk makluman juga, kadar kehadiran pelanggan dijangka lebih tinggi berbanding sebelum PKP. Justeru, pihak kami memohon kerjasama dari semua pelanggan untuk berada dalam keadaan tenang, berdisiplin dan sabar menunggu giliran untuk berurusan di jabatan ini,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close