Berita Utama

KKM belum isytihar kluster gunting rambut

Hanya akan diumumkan sekiranya ramai positif wabak berkenaan

PUTRAJAYA, 21 Syawal 1441H, Sabtu – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum mengesan kluster membabitkan tukang gunting rambut kerana ketika ini hanya satu kes positif COVID-19) membabitkan sektor itu dikenal pasti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kemunculan kluster tersebut akan diumumkan sekiranya ramai yang didapati positif wabak tersebut.

“Kita telah tetapkan untuk warga asing yang gunting rambut pastikan mereka menjalani ujian saringan COVID-19.

“Bagi kontak rapat tukang gunting rambut warga asing yang disahkan positif itu, kita telah jalankan saringan dan pelanggan yang pernah menggunakan perkhidmatan juga diminta untuk tampil buat saringan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KKM bercadang untuk menarik balik kebenaran operasi sektor tukang gunting rambut susulan seorang tukang gunting rambut warga Pakistan didapati positif wabak tersebut.

Mengulas lebih lanjut, Dr Noor Hisham berkata, tukang rambut tersebut didapati telah menjalankan perkhidmatan gunting rambut di rumah pelanggan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang belum membenarkan sektor itu beroperasi.

“Kita sebenarnya telah keluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor gunting rambut tapi isunya sekarang tukang gunting itu tidak patuh kerana berikan perkhidmatan sebelum ia dibenarkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button