Berita Utama

Muhyiddin akan bebas 6 pemimpin UMNO demi sokongan: Tun M

Jika mereka bersalah di mahkamah, sokongan merosot kepada 108

BANGI, 21 Syawal 1441H, Sabtu – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membebaskan pendakwaan ke atas enam wakil rakyat UMNO demi mendapatkan sokongan untuk kekal sebagai kerajaan. 

Enam pemimpin yang dinamakan Dr Mahathir adalah Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Bung Moktar Radin. 

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, sewaktu Muhyiddin merancang untuk menerima UMNO dan Najib sebagai rakan dalam parti baharu, beliau berjanji tidak akan sentuh perbicaraan kes membabitkan pemimpinnya dan membiarkan ia diteruskan.

Namun, menurut Dr Mahathir, jumlah wakil rakyat yang menyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hanya 114, iaitu tiga saja lebih daripada 111 wakil rakyat. 

“Jika enam orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108 – iaitu kurang daripada separuh. 

“Maka, kerajaan Muhyiddin pun akan jatuh. Sebab itu Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak salah,” dakwanya dalam tulisan di chedet.cc, hari ini. 

Beliau turut menyindir amalan norma baharu kerajaan sekarang, kerana mendakwa memutar undang-undang dengan membebaskan individu bersalah. 

“Kita sudah lihat bagaimana Riza Aziz dan Musa Aman juga sudah dilepas. Sudah tentu enam orang ini juga akan didapati tidak bersalah. Maka selamatlah Muhyiddin. 

“Dunia akan ketawa melihat kerajaan pintu belakang ini putar undang-undang. Yang salah tidak salah. Yang benar salah. 

“Yang menang kalah. Yang kalah menang. Syabas. Norma baharu sudah dicipta,” sindirnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close