Berita UtamaIstimewa

Mykad semurah RM300? Inikah nilai kedaulatan sebuah negara?

PEMBELA desak kerajaan pertimbang tukar kad pengenalan baharu

BANGI, 21 Syawal 1441H, Sabtu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) konsisten mendesak kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk segera menukarkan kad pengenalan baharu bagi mengekang isu pemalsuan MyKad dalam kalangan warga asing di negara ini. 

Naib Pengerusinya, Cikgu Izzat Johari berkata, kerajaan juga disyor untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam proses pembentukan kad pengenalan baharu serta prosedur operasi standard (SOP) permohonannya. 

Beliau menegaskan, penghasilan MyKad baharu bukan sekadar sekeping kad tetapi bakal menyelesaikan masalah lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan migran yang semakin berleluasa akibat sindiket di Malaysia. 

“Jelas isu pemalsuan MyKad semakin menjadi-jadi, malah saya yakin ramai lagi yang sudah ada MyKad palsu di luar sana. 

“Jangan tunggu, jangan tangguh dan jangan ambil masa yang terlalu lama untuk buat keputusan! Semakin hari semakin banyak penyelewengan dalam proses MyKad sedia ada malah semakin lama semakin banyak PATI dalam Malaysia yang terlepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata demikian mengulas laporan berkenaan lapan warganegara Indonesia boleh memperoleh kad pengenalan palsu dengan hanya membayar RM200 hingga RM300. 

Siasatan awal mendapati lapan kad pengenalan yang diserahkan adalah palsu dan suspek mengaku bahawa memperoleh kad itu daripada individu berasingan yang tidak dikenali kira-kira setahun lalu. 

Mengulas perkara itu, Cikgu Izzat kesal apabila nilai sebuah kedaulatan negara Malaysia hanya perlu dibayar dengan RM300 sahaja. 

“Kepada kerajaan Malaysia, segera buat keputusan. Jika terlalu lambat, PEMBELA terpaksa memikirkan kaedah lain iaitu menghantar memorandum kepada YDPA agar isu ini diambil serius dan diselesaikan segera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close