Berita Utama

Pinjaman dalam negara hindar terdedah risiko mata wang asing

Keputusan kerajaan turut bantu imbangi pendapat rakyat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 21 Syawal 1441H, Sabtu – Hasrat kerajaan meminjam sehingga RM35 bilion dari dalam negara bagi membiayai inisiatif rangsangan ekonomi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dilihat sebagai usaha mengimbangi pendapatan rakyat.

Hal ini kerana, pulangan yang diberi kepada institusi dalaman yang kebanyakannya kawalan kerajaan akan membantu mengagihkan pendapatan kepada penyimpan serta pencarumnya, kata pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Beliau berkata, meskipun meminjam dari luar negara yang mungkin pada masa ini lebih menarik kerana kadar faedah yang rendah – seperti Samurai Bon yang mana kadar faedah kurang dari satu peratus – namun ia mempunyai risiko yang besar.

“Pertamanya risiko kadar pertukaran wang asing yang mana nilai yen sentiasa mengukuh berbanding ringgit. Selain itu, ada had yang ditentukan oleh penganalisa pasaran dan ‘rating agency’. Contohnya, Malaysia hanya boleh meminjam kira-kira RM35 bilion sahaja daripada luar negara.

“Oleh itu, pinjaman dalam negara tidak dilihat sebagai satu pendedahan yang serius dalam kewangan kerana merupakan pinjaman dalam mata wang ringgit malah pinjaman ini adalah di antara institusi yang dikawal oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz menjelaskan bahawa tiada pinjaman dari luar akan dibuat oleh kerajaan bagi membiayai inisiatif RM295 billion yang diumumkan untuk merancakkan kembali ekonomi dan membantu rakyat susulan pandemik COVID-19.

Sebaliknya, katanya, kerajaan akan meminjam sebanyak RM35 bilion dari pasaran tempatan bagi membiayai inisiatif PRIHATIN dan PENJANA seperti yang diumumkan sebelum ini.

Bahkan katanya, Malaysia tidak akan mengeluarkan sebarang bon dalam denominasi mata wang asing untuk membiayai suntikan fiskal memandangkan negara mempunyai kedudukan mudah tunai yang kukuh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button