Berita Utama

Bimbang lantikan Eric Paulsen tenggelamkan suara Islam

Tak mahu pemikiran liberal pengaruhi keputusan dasar MPKM

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 22 Syawal 1441H, Ahad – Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menggesa supaya pelantikan Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) dibatalkan serta-merta.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) berkata, seseorang yang memiliki pemikiran liberal dan rasis seperti Pengarah Undang-Undang Fortify Liberty itu dibimbangi akan mempengaruhi keputusan dasar MPKM.

“Kita tidak mahu suara liberal diarus perdana dan suara Islam ditenggelamkan,” kata Zainul ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Malah, beliau berkata, lantikan lain juga perlu diperhalusi pegangan mereka supaya kedudukan Islam boleh dimartabat di kementerian yang berfungsi memberi penerangan kepada masyarakat umum. 

Katanya, jika dasar liberal diberi keutamaan, maka ia boleh membentuk corak pemikiran rakyat menjadi lebih liberal dan tidak menganggapnya suatu yang janggal lagi.

“Janggal dan di luar norma lazim masyarakat tempatan serta mengimport nilai segajat sama sekali tidak sesuai dengan nilai watan,” katanya.

Antara ‘rekod hitam’ Eric  apabila mengeluarkan kenyataan di media sosial mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis. 

Kenyataan beliau yang menuduh Jakim menyebarkan fahaman itu pada setiap Jumaat dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.

Bahkan, Eric juga pernah menganggap bekas Mufti Negeri Johor, Datuk Noh Gadut sebagai pengganas Taliban.

Antara lain, Eric pernah mengkritik pelaksanaan undang-undang hudud sebagai tidak berpelembagaan, zalim dan tidak sesuai pada zaman moden.

Menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini mengumumkan penubuhan MPKM sebagai satu platform bagi kerajaan membincang dan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia.

MPKM dipengerusikan oleh menteri dan dianggotai 15 ahli yang merangkumi pengurusan tertinggi KKMM, wakil-wakil dari masyarakat sivil, ahli akademik, badan pemikir, pakar sesuatu bidang, badan profesional, badan perniagaan dan sebagainya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close