Berita Utama

Gesa tarik balik lantikan Eric Paulsen atau berdepan bantahan umat Islam

Terkenal dengan sokongan kuat terhadap aliran sesat, fahaman merosakkan

BANGI, 22 Syawal 1441H, Ahad – Umat Islam perlu bangkit menyatakan bantahan terhadap lantikan Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM), gesa Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau menegaskan, walau apa jua tujuan dan motif yang ingin dicapai, pelantikan individu yang terkenal dengan promosi dan sokongan kuat terhadap pelbagai aliran sesat serta fahaman yang merosakkan struktur sosial seperti liberalisme, humanisme, hedonisme, LGBT serta seks songsang ini sama sekali tidak boleh diterima.

“Kerajaan pada hari ini perlu bergerak atas norma baharu, dan norma baharu yang ingin dilaksana ialah norma yang tidak menerima budaya songsang yang bertentangan dengan Islam untuk diletakkan di atas pentas.

“Janganlah dirosakkan imej kerajaan yang sedang dipandang tinggi oleh rakyat ini dengan tindakan ‘nila setitik merosakkan susu sebelanga’,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menggesa menteri berkenaan menimbangkan tindakan untuk menarik balik pelantikan yang sangat tidak sesuai ini atau berdepan dengan kemungkinan bantahan yang kuat dari umat Islam yang prihatin.

Pelantikan baharu Eric di bawah kementerian komunikasi mendapat bantahan dan tentangan banyak pihak ekoran kelantangan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Islam dan institusi Islam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah juga pernah melantik Eric menjadi wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2019-2021 di bawah beliau ketika menjadi Menteri Luar Negeri sewaktu pemerintahan PH.

Pelantikan itu pernah mendapat tentangan dan bantahan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan melalui kenyataan pada 14 dan 15 Januari 2019.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close