Berita Utama

Beri baucar bantu perkukuh Sekolah Amanah

Buka ruang pada pengendali-pengendali turut serta dengan pembiayaan kerajaan

BANGI, 29 Safar 1445H, Jumaat – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesyorkan kerajaan memperkukuh dan menambah jumlah Sekolah Amanah dengan cara memperkenalkan ‘school voucher’ (baucar sekolah).

Menurutnya, di peringkat antarabangsa, model Sekolah Amanah ini adalah satu peluang untuk membolehkan kepakaran badan-badan bukan kerajaan, perniagaan sosial dan syarikat swasta dibawa ke sekolah kerajaan untuk mentransformasi sekolah itu menjadi lebih baik.

Katanya, banyak negara membiayai program ini dengan dana kerajaan melalui konsep ‘school voucher’.

“Sebab itulah Kementerian Pendidikan wajar juga meneroka model ‘school voucher’ atau ‘education voucher’ (baucar pendidikan) sebagai pelengkap kepada proses transformasi pendidikan negara, terutama untuk kawasan-kawasan luar bandar.

“Sekolah Amanah bermatlamat untuk membawa perubahan kepada prestasi sekolah tanpa mengira pencapaian semasa daripada sederhana kepada baik, baik kepada lebih baik.

“Malah, fungsinya juga mampu menghasilkan lebih ramai guru cemerlang yang serba boleh di samping dapat meningkatkan prestasi dan keberkesanan pengurusan sekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, setakat ini, program Sekolah Amanah dioperasikan oleh satu pengendali sahaja.

Justeru katanya, kerajaan perlu membuka ruang kepada lebih banyak pengendali-pengendali untuk turut serta dalam program ini dengan pembiayaan kerajaan.

“Gabungan antara ‘school voucher’ dan Sekolah Amanah boleh membantu kita mencapai matlamat tersebut.

“Saya yakin bahawa model Sekolah Amanah wajar menjadi satu model penting dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) malah juga RMKe-13,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button