Berita Utama

Jangan tertipu istilah Arab DAP, perjuangan tetap sekular demokrasi

‘Jika Kor Ming terima Allah sebagai ‘ilah’, sudah pasti beliau peluk Islam’

BANGI, 22 Syawal 1441H, Ahad – Umat Islam diingatkan tidak mudah tertipu dan terpedaya dengan penggunaan istilah bahasa Arab yang digunakan pemimpin rasis serta cauvinis Nga Kor Ming.

Terbaharu, pemimpin DAP menggunakan kalimah Arab seperti amar makruf nahi mungkar serta naiwatu ketika menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat setempat.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Mohd Rusdi Alias berkata, umat Islam perlu sentiasa peka dan cerdik dalam membuat penilaian terhadap tindakan pemimpin parti cauvinis.

“Kajilah ideologi dan perjuangannya dahulu. Kita akan mudah tertipu apabila kita tidak tahu tentang ideologi perjuangan seseorang.

“Bahkan, kita secara tidak sedar telah mengkhianati agama, bangsa, dan negara jika tidak dapat memahami sesuatu perkara mengikut neraca yang betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai foto dimuat naik Nga Kor Ming di akaun rasmi Twitter, semalam memaparkan usaha ‘murni’ Pengerusi DAP Perak itu menghulurkan sumbangan berbentuk barang keperluan kepada penduduk setempat.

“Amar maaruf nahi mungkar. Sejak 1966, berbakti, berkhidmat dan berjasa adalah akhlak mulia yang kami dukung dan perjuangan DAP.

“Jangan layan cemuhan, kritikan ataupun fitnah berdusta, Ilahi tahu naiwatu dalam hati dan akan memberkati usaha murni ini selagi kami ikhlas membantu,” demikian kapsyen ditulis Kor Ming.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Rusdi berkata, perkataan ‘ilah’ atau ilahi yang digunakan dalam bahasa Arab membawa maksud tuhan diabdikan diri kepadaNya.

Selain itu, ia juga memberi erti tuhan yang mesti ditaati dan dipatuhi segala hukum-hakamnya.

“Kalau Ngar Kor Ming menerima Allah sebagai “ilah”, sudah pasti beliau akan memeluk Islam.

“Jadi, penggunaan kalimah ilahi sudah pasti diucapkan beliau sama ada datang dari kejahilan beliau sendiri atau sekadar ingin menarik perhatian dan meraih sokongan umat Islam sahaja,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Mohd Rusdi menyifatkan bahawa perjuangan DAP adalah sekular demokrasi, yang dengan sendirinya menolak Malaysia sebagai negara Islam.

Beliau berkata, sifat berkenaan adalah mungkar terbesar yang perlu difahami dan ditentang oleh umat Islam.

“Tidak boleh dibayangkan dalam hati orang beriman ada kompromi lagi dan bekerjasama dengan parti yang jelas menolak pelaksanaan hukum Allah SWT,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button