Berita Utama

JAWI anjur solat sunat hajat untuk Palestin

Doakan Palestin dilindungi dari cengkaman Israel

BANGI, 22 Syawal 1441H, Ahad – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan majlis solat sunat hajat, doa selamat dan Qunut Nazilah dalam masa terdekat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk DrZulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pelaksanaan solat berkenaan adalah untuk mendoakan Palestin supaya dilindungi dari cengkaman rejim pengganas Israel.

Beliau turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa prihatin dan sokongan kepada rakyat Palestin yang kini terus dijajah dan ditindas oleh rejim Israel.

“Prinsip kerajaan Malaysia adalah konsisten dalam isu Palestin – Israel. Terbaharu, kerajaan Malaysia mengecam tindakan Israel mengilhakkan (annex) sebahagian tanah Palestin yang dijajah Israel sejak 1967 di Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan. 

“Ia adalah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan. Kezaliman Israel terhadap penduduk Palestin, wajib ditentang secara konsisten oleh seluruh masyarakat Malaysia bagi memberi tekanan berterusan agar kekejaman dihentikan,” katanya.

Terdahulu, Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama, untuk bersama-sama mendoakan, mengikut pegangan kepercayaan masing-masing, agar rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan dari penjajahan dan penindasan rejim Israel.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menitahkan agar masjid-masjid dan surau-surau dalam negara ini mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT.

“Baginda menzahirkan harapan agar seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat-menghormati di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman antara sesama manusia.

“Baginda percaya perjuangan ini juga dapat dicapai untuk rakyat Palestin sekiranya mereka bebas daripada penjajahan rejim Israel dan mereka diberi sokongan serta hak menubuhkan sebuah negara yang merdeka di wilayah-wilayah Palestin yang ditakluki Israel sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis (East Jerusalem),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button