Berita Utama

Hanya 718 kes positif warga tahfiz dari 17,477 sampel

Kebolehjangkitan COVID-19 warga tahfiz sekitar 4.1 peratus

PUTRAJAYA, 22 Syawal 1441H, Ahad – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga tahfiz adalah sekitar 4.1 peratus.

Katanya, hasil saringan dan ujian pengesanan COVID-19 yang melibatkan 17,477 sampel di 429 pusat tahfiz di seluruh negara setakat ini mendapati hanya 718 kes positif.  

Mengulangi nasihat agar masyarakat tidak memberikan stigma negatif berhubung penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar tahfiz, beliau berkata sekolah tahfiz atau pelajar tahfiz adalah satu daripada kumpulan sasaran yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, kita kenal pasti saringan kita membawa kepada 4.1 peratus kadar jangkitan. Yang pasti, kita bukan nak stigmakan mereka, tetapi kita nak pastikan mereka tiada virus itu. Ini kerana 120 pusat sekolah tahfiz telah dikunjungi oleh jemaah tabligh (kluster Sri Petaling),” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 hari ini. 

Kluster Sri Petaling yang terdiri daripada jemaah tabligh dan telah mencetuskan gelombang kedua COVID-19 negara adalah kluster yang terbesar memandangkan ia telah menjangkiti lima generasi. 

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham menafikan maklumat yang tular dalam laman Facebook mengenai seorang kanak-kanak dari Kampung Huma, Alor Setar, Kedah didakwa positif COVID-19 selepas dijangkiti oleh saudaranya yang pulang ke kampung dari Negeri Sembilan. 

Ketua Pengarah Kesihatan itu menyangkal dakwaan: “Apa yang dimuat naik di Facebook itu adalah tidak benar. Kita tidak menerima laporan itu.” 

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah hari ini menerusi laman Facebook rasminya turut mengeluarkan kenyataan menafikan maklumat tular itu. 

Sementara itu, apabila ditanya mengenai keselamatan makanan, Dr Noor Hisham berkata, tidak terdapat laporan bahawa COVID-19 boleh disebarkan menerusi pengambilan makanan. 

“Setakad ini, tidak ada isu berkaitan ikan kerana apabila kita masak makanan, kita tidak gusar dengan jangkitan virus itu kerana apabila kita memasak haba panas itu sendiri akan membunuh virus berkenaan. 

“Saya rasa tidak terdapat laporan berhubung jangkitan menerusi pengambilan makanan, yang lebih penting ialah kita mengambil semua langkah berjaga-jaga dan terus mengekalkan kebersihan diri,” katanya.

Mengenai pemantauan larangan merokok, Dr Noor Hisham berkata KKM sentiasa membuat  pemantauan terhadap kepatuhan masyarakat mengenai larangan merokok di premis makanan.

“Tetapi apa yang KKM perlukan ialah kerjasama daripada rakyat Malaysia dan tuan kedai untuk pastikan pengunjung tidak merokok di restoran,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata pandangan orang ramai yang menyatakan larangan merokok di premis makanan tidak lagi dilaksanakan adalah tidak tepat, sebaliknya penguatkuasaan berkurangan kerana memberi tumpuan terhadap usaha menangani penularan COVID-19.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan para pemimpin komuniti untuk menggunakan maklumat terkini di KKM untuk mendidik masyarakat setempat berkenaan langkah-langkah pencegahan wabak COVID-19 selain memantau dan memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan kerajaan.

“Yang lebih penting amalkan kerap mencuci tangan, pakai pelitup separuh muka di kawasan awam dan jaga kebersihan diri. Saranan KKM mudah tapi mungkin sukar diamalkan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button