Berita Utama

Penderma darah wira negara: Muhyiddin

PM rakam penghargaan kepada pihak anjur kempen derma darah

KUALA LUMPUR, 22 Syawal 1441H, Ahad – Penderma darah juga adalah wira negara kerana pengorbanan mereka untuk tampil menderma darah secara sukarela membantu menyelamatkan nyawa pesakit, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pengorbanan masa dan tenaga penderma darah, yang tampil secara sukarela saban hari juga dapat dilihat ketika negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi melawan COVID-19.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menganjurkan kempen derma darah. Menerusi kempen-kempen ini, masyarakat berpeluang untuk menderma darah berdekatan dengan komuniti setempat mereka dan ini lebih memudahkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam video ucapan sempena Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Darah yang Selamat Menyelamatkan Nyawa’ dan ‘Derma Darah Demi Kesihatan Sejagat’, di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Fokus tema pada tahun ini menjurus kepada sumbangan setiap penderma darah dalam membantu menyelamatkan nyawa pesakit, dan seterusnya meningkatkan tahap kesihatan komuniti setempat.

Perdana Menteri berkata, dalam situasi negara yang baru memasuki fasa pemulihan wabak COVID-19, normal kehidupan yang baharu perlu terus dilaksanakan untuk meraikan hari penderma darah pada tahun ini.

“Saya yakin semua platform media sosial akan dimanfaatkan dengan makluman berguna bagi meraikan para penderma darah serta menyemarakkan kesedaran menderma darah,” katanya.

Muhyiddin turut meminta masyarakat meneruskan sokongan padu kepada Pusat Darah Negara dan Tabung-tabung darah di seluruh negara.

“Saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia, terutama yang masih belum menderma darah, mulakan langkah pertama anda dalam menjadikan amalan menderma darah secara berkala sebagai budaya gaya hidup sihat,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close