PKR Selangor dakwa Dr Daroyah khianat mandat rakyat
Desak letak jawatan ADUN Sementa jika masih bermaruah

BANGI, 22 Syawal 1441H, Ahad – Majlis Pimpinan PKR Selangor mendesak Dr Daroyah Alwi meletak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa selepas mengumumkan keluar daripada parti itu, berkuat kuasa semalam.
Mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan ini jelas satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat yang memberi mandat jelas kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir Selangor melalui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lepas.
“Keutamaan Kerajaan Selangor pada masa ini adalah untuk menggembleng inisiatif membantu rakyat Selangor yang terkesan berikutan penularan pandemik COVID-19.
“Susulan peletakan jawatan beliau, saya menggesa YB Dr Daroyah untuk segera meletak jawatan Ahli Dewan Negeri Sementa sekiranya masih bermaruah.
“Manakala peletakan jawatan beliau selaku Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor akan diuruskan oleh Pejabat Dewan Negeri Selangor melalui YB Speaker selanjutnya.
“Saya yakin ADUN PKR serta semua lapisan jentera terutamanya ketua-ketua cabang merasa mual dengan politik separa matang yang tidak berkesudahan. PKR dan PH Selangor beriltizam berkhidmat sedaya-upaya demi menghormati mandat rakyat,” katanya yang juga Menteri Besar dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Dr Daroyah memutuskan untuk keluar parti kerana sudah hilang rasa yakin dan percaya kepada Presiden dan kepemimpinan yang alpa terhadap idealisme perjuangan serta hala tuju parti, yang kini lebih membawa kepada perpecahan.
Beliau mendakwa, Presiden parti dan pentaksubnya gagal menjalankan amanah majoriti ahli yang memilih mereka.
“Saya percaya, dengan peletakan jawatan ini, saya tidak lagi diheret dengan masalah perebutan kuasa dalam parti.
“Saya bertekad untuk terus menjalankan tugas dan memberi sepenuh komitmen dalam memberikan perkhidmatan lebih efektif kepada masyarakat di DUN Sementa,” katanya.
Dr Daroyah mendakwa tidak bersendirian dalam langkahnya meninggalkan parti itu, malah seramai 35 orang pemimpin PKR di peringkat pusat, negeri dan cabang, turut mengikut langkahnya itu.