Berita Utama

Rebut kuasa: DAP tak hormat institusi beraja, masih tak terima keputusan Agong

PH tak faham aspirasi rakyat, tetap mahu jatuhkan kerajaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 22 Syawal 1441H, Ahad – Desakan parti tamak haloba DAP sejak kebelakangan ini membuktikan mereka masih tidak menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan, berkaitan dengan penubuhan kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menyarankan Muhyiddin tidak membubarkan Parlimen, sebaliknya menyerahkan kerajaan kepada PH Plus secara terhormat atas dakwaan sudah mempunyai majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Alasannya, Muhyiddin tidak harus memohon pembubaran Dewan Rakyat kerana ia dapat menjimatkan RM100 juta wang rakyat untuk pembayaran pencen kepada anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, DAP juga menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerjasama melawan Perdana Menteri serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berkata, sekiranya kedua-dua pemimpin itu tidak bekerjasama, jumlah kerusi dimiliki Pakatan Harapan dan sekutunya (PH Plus) akan berpecah.

Mengulas perkara itu, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, kenyataan sedemikian menggambarkan sikap DAP yang tidak menghormati institusi beraja dan sistem Perlembagaan dalam negara yang mempunyai kaedah-kaedah tersendiri dalam menentukan pelantikan perdana menteri dan penubuhan kerajaan.

Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu turut kesal apabila penyataan itu datang daripada satu parti politik yang sepatutnya menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Beliau menegaskan bahawa parti komponen PH khususnya DAP seharusnya menyedari bahawa runtuhnya kerajaan PH bukan sebab parti pembangkang pada waktu itu, namun disebabkan masalah dalaman parti komponen khususnya PKR dan Bersatu.

“Masalah dalaman itu timbul kerana perbezaan pandangan dalam menentukan hala tuju kerajaan. Dalam hal ini perubahan yang berlaku itu ibarat satu penjajaran semula kerajaan.

“Ini kerana dalam PH dahulu terdapat elemen yang menganggap pendekatan parti komponen seperti DAP khususnya tidak sesuai dalam konteks negara yang berbilang kaum dan mempunyai asas kukuh berdasarkan sejarah terutamanya dalam aspek membela keistimewaan orang Melayu, menjaga institusi beraja dan kedudukan agama Islam.

“Apabila tiga perkara itu tidak menghormati, maka sebahagian daripada elemen PH merasakan mereka tidak lagi sesuai untuk kekal berada dalam kerajaan itu,” dakwanya.

Dalam pada itu, Dr Fathi berkata, apa dilakukan DAP dan PH untuk menjatuhkan kerajaan PN adalah satu langkah yang bertentangan dengan hasrat rakyat masa kini yang menyatakan rasa puas hati ataupun menerima kerajaan sedia ada .

“Bahkan ia menggambarkan bahawa PH tidak memahami aspirasi rakyat dan langkah itu juga amat bertentangan dengan realiti yang dihadapi negara sekarang ini yang berhadapan COVID-19 dan dalam usaha untuk memulihkan ekonomi.

“Parti dalam PH sewajarnya mengambil langkah menyokong dan memberikan pandangan positif atau kritikan membina, bukannya mencabar keabsahan kerajaan dan juga berusaha menjatuhkannya” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button