Berita Utama

Strategi tingkat peluang pekerjaan perlu ada dalam RMK-12

Kemiskinan luar bandar di kalangan pekebun kecil belum selesai

BANGI, 22 Syawal 1441H, Ahad – Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) (2021-2025) adalah resepi penting bagi memacu kemajuan negara, kata Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim.

Beliau berkata, pelan pembangunan negara setiap lima tahun adalah satu peluang baik bagi menunjukkan negara mampu untuk berubah.

Bagaimanapun, fokus RMK-12 bukan hanya untuk kemajuan ekonomi, tetapi juga untuk menjana kualiti hidup berpanjangan hingga bertahun-tahun ke hadapan.

“Inilah yang dimaksudkan pembangunan lestari yang membabitkan pelbagai bidang sains.

“Ini termasuk sains tenaga yang mesra iklim, sains pengurusan kesihatan awam, sains memampankan sumber utama seperti air, sains pengeluaran makanan serta sains yang menjaga alam sekitar supaya sentiasa selamat,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan BHOnline, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kemajuan yang dicita-citakan, beliau berkata, kemajuan itu mesti dikongsi bersama seperti yang sedia digarapkan dalam pelan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030

Dr Ahmad berkata, mengejar kemajuan boleh dianggap sebagai usaha mengatasi ancaman dan merebut peluang. 

“Kemiskinan, umpamanya, adalah satu ancaman utama yang perlu kita tangani. COVID-19 memburukkan lagi tahap kemiskinan.

“Kemiskinan luar bandar dalam kalangan pekebun kecil masih belum bertemu kesudahannya.

“Kini, kemiskinan bandar pula muncul, satu kebimbangan yang semakin meningkat. Mencipta pekerjaan adalah cara yang terbukti berkesan untuk membasmi kemiskinan,” katanya.

Beliau menegaskan, apa yang penting, strategi untuk meningkatkan lagi peluang pekerjaan perlu disiratkan dalam RMK-12.

Sambil merancang RMK-12, beliau menegaskan, kerajaan juga perlu peka mengenai peristiwa terkini yang memberi tamparan hebat kepada semua – COVID-19

“Dalam RMK-12, patut disediakan strategi mantap bagi menghadapi gangguan sama yang mungkin akan timbul lagi pada masa depan. Negara mesti bersedia.

“Apa pun, kesihatan awam kini tersenarai sebagai ancaman utama kepada pembangunan dunia dan mesti diambil kira ketika merangka RMK-12,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close