Berita Utama

CEO PPSPM didakwa peroleh suapan RM260,000

Suapan itu didakwa upah untuk dirinya sebagai ejen PPSPM

MELAKA, 23 Syawal 1441H, Isnin – Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memperoleh suapan RM260,000 berhubung kontrak pembekalan bot Melaka River Cruise, tiga tahun lepas.

Mohd Fariz Mohd Ali, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Dia didakwa memperoleh suapan untuk dirinya daripada Ketua Pegawai Eksekutif LEC Impressions Sdn Bhd Lim Boon Peng iaitu syarikat melaksanakan kontrak kerja pembekalan 10 bot Melaka River Cruise, secara tunai melalui seorang individu, dalam empat transaksi di Taman Peringgit Jaya dan Taman Puncak Bertam, antara 4 Jan dan 15 Nov 2017.

Suapan itu didakwa sebagai upah untuk dirinya yang bertugas sebagai ejen iaitu Pengurus di Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Produk PPSPM ketika kejadian, bagi melakukan suatu perkara berhubung dengan hal ehwal prinsipal iaitu mencadangkan LEC Impressions memperoleh projek membekal bot kepada PPSPM.

Mohd Fariz dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Fariz turut mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak pendakwaan iaitu menerima benda berharga tanpa balasan iaitu wang tunai RM260,000 untuk dirinya melalui empat transaksi daripada Lim di tempat dan waktu sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Namun, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung tiga anak berusia antara tiga hingga sembilan tahun dan keluarga selain perlu membayar pinjaman peribadi.

Hakim Mohd Nasir membenarkan Mohd Fariz diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 23 Julai untuk sebutan semula kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close