Berita Utama

Sokong Hari Jawi, hiraukan ‘mulut jahat’

Masyarakat majmuk mampu raikan Jawi jika kerajaan komited

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Masyarakat Melayu Islam amat berharap kerajaan dapat meneruskan hasrat untuk melaksanakan Hari Jawi seperti yang diumumkan semalam. meskipun berdepan dengan pelbagai tekanan.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya yakin, rakyat berbilang bangsa di negara ini boleh menerima kehadiran Jawi sekiranya kerajaan menunjukkan kesungguhan untuk melaksanakannya.

“Kita berharap agar kerajaan dapar meneruskan hasrat memperkasakan tulisan Jawi tanpa menghiraukan ‘mulut-mulut jahat’ segelintir orang.

“Kita yakin, sebenarnya masyarakat berbilang kaum di Malaysia ini akan merai dan menghargai tulisan Jawi sebagai sebahagian budaya dan identiti nasional yang unik, dengan syarat kita bersungguh-sungguh dan konsisten. Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penentang tulisan Jawi tidak perlu ‘panas’ dengan usaha kerajaan memartabatkannya kerana langkah itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah mampu memperkasakan lagi identiti Malaysia.

Katanya, tulisan itu adalah sebahagian daripada kesenian dan budaya orang Melayu yang sewajarnya dimartabatkan.

Justeru, beliau mengingatkan puak penentang supaya berhenti mempersoalkan usaha memperkasakannya secara rasmi dalam kerajaan atau kepada masyarakat di Malaysia.

“Kenapa dipersoalkan, sedangkan kita (orang Melayu) tidak pernah mempersoalkan kebudayaan Cina atau India.

“Tulisan Jawi adalah tulisan utama Tanah Melayu sejak ratusan tahun. Jadi, ia mempunyai sejarah dan hubungan rapat dengan orang Melayu dan raja-raja Melayu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan, hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ dalam usaha mengekalkan dan memperkasa sebahagian tradisi serta kebudayaan yang membentuk Malaysia.

Beliau berkata, tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Bagaimanapun, inisiatif Menteri Hal Ehwal Agama itu dikriktik dan diperlekeh netizen Cina yang menyifatkan kononnya ia langkah terkebelakang dan cubaan mengarabkan Malaysia.

Menempelak sikap biadab golongan berkenaan, Haji Aminuddin menyifatkan, tindakan menghina tulisan Jawi adalah seperti menghina orang Melayu dan juga agama Islam.

“Rakyat terutama orang Melayu rasa tersinggung dan kecewa terhadap komen-komen negatif terhadap tulisan Jawi.

“Ia juga dilihat mencabar bangsa Melayu dan raja-raja Melayu yang asal-usulnya memang membaca dan menulis Jawi.

“Rakyat harap kerajaan dapat meneruskan hasrat memperkasakan tulisan jawi tanpa menghiraukan desakan dan komen mereka,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Perlekeh Hari Jawi, netizen Cina mahu Jumaat ‘Hari Makan Babi’

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button