Berita Utama

Beri kerusi majoriti Melayu Tanjung Piai kepada BERJASA, bukan MCA

PN jangan contohi BN, pelihara biawak hidup seperti MCA

BANGI, 23 Syawal 1441H, Isnin – Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya diadakan dalam masa terdekat jika betul pendekatannya.

Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, ini termasuklah menolak daripada meletakkan calon MCA di kawasan majoriti Melayu.

Beliau juga berpendapat, kerusi Parlimen Tanjung Piai yang kini dimiliki oleh MCA wajar diberikan kepada Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) kerana demografi penduduknya didiami majoriti kaum Bumiputera berkenaan.

“Kajian demi kajian telah dibuat, jika PRU-15 berlaku dalam masa terdekat ini, keputusannya menyebelahi PN, jika betul caranya. 

“Tetapi jika terus menggunakan pakai formula lapok terutama kawasan majoriti Melayu Islam kepada MCA. Maka tunggulah akibatnya, termasuk kerusi Tanjung Piai, perlu dikembali kepada orang Islam. Tidak salah diberikan kepada Presiden BERJASA.

“Tulisan ini bukan menafikan hak orang bukan Islam atau hak orang Cina. Ini berasaskan kepada formula, strategi, logik dan rasional,” katanya dalam ruangan kolumnis di Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Mohd Ridhuan Tee turut menyentuh perihal pengorbanan dan isu siapa perlu berkorban dalam soal pembahagian kerusi.

“Dalam PN, dalam kawasan majoriti Melayu, parti manakah yang perlukan korbankan kerusinya, UMNO, PAS, Bersatu untuk memastikan survival politik Islam dan Melayu? BERJASA bagaimana pula?

“Semua berebut mahu kerusi lebih kerana bilangan kerusi inilah yang kebiasaannya menjadi penentu, siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri (PM). Kedudukan kerajaan sekarang, belum mencerminkan hakikat sebenar disebabkan oleh pergelutan politik yang berlaku. Saya amat yakin, PRU-15 akan penentuannya,” katanya.

Beliau berkata, jika formula Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang membenarkan MCA bertanding di kawasan majoriti Melayu diteruskan, ia bermakna pemimpin Melayu terlalu ‘bodoh’.

Katanya, beliau lebih memfokuskan kepada MCA dan Gerakan sahaja kerana ia pengacau undi majoriti Melayu sekiranya formula PRU-14 dan sebelumnya terus dikekalkan kepada parti ultra kiasu tidak tahu malu ini.

“Terlalu sukar untuk menang di kawasan majoriti Cina, tetapi terus berkeras bertanding di kawasan majoriti besar orang Melayu?,” soalnya.

Bukan sekadar itu, katanya, MCA turut memasang niat untuk bertanding di negeri Kelantan dan Terengganu, dalam keadaan bilangan yang sangat minoriti. 

“Ingatan saya kepada PAS (PN) di Kelantan dan Terengganu, hentikanlah memberi kerusi kepada mereka. Lantik sahaja wakil mereka untuk kedua negeri ini.

“Salah satu punca BN tidak mendapat majoriti dalam PRU-14 dan sebelumnya adalah kerana membela biawak hidup ini, bertanding di kawasan majoriti Melayu. 

“Saya amat yakin, BN akan mendapat lebih kerusi dalam PRU-14, jika tidak ditonjolkan biawak hidup di kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button