Berita Utama

Isu Tommy Thomas: Kertas siasatan diperkemas dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara

PDRM juga telah selesai mengambil keterangan Thomas

KUALA LUMPUR, 4 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Kertas siasatan yang telah diperkemaskan, berhubung dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara Isnin ini untuk arahan selanjutnya.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan hari ini berkata Polis Diraja Malaysia PDRM juga telah selesai mengambil keterangan Thomas.

“Susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang telah ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri, dan arahan oleh Perdana Menteri agar siasatan lanjut segera dilaksanakan, kertas siasatan yang telah diperkemaskan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Thomas, berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam bukunya.

Ismail Sabri berkata berdasarkan siasatan, pasukan petugas itu telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional; dan kenyataan berbaur hasutan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button