Berita Utama

Denggi: KKM jangka gelombang kedua awal Jun hingga September

50,511 kes, 88 kematian dilaporkan sejak Januari hingga 13 Jun 2020

BANGI, 23 Syawal 1441H, Isnin – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan peningkatan kes demam denggi dalam gelombang kedua, bermula pada awal Jun hingga September tahun ini. 

Jangkaan itu berdasarkan trend peningkatan dengan purata lapan peratus seminggu sejak lapan minggu lalu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. 

Beliau berkata, sejak Januari hingga 13 Jun 2020, sebanyak 50,511 kes demam denggi dan 88 kematian dilaporkan berbanding 56,819 kes serta 88 kematian pada tempoh sama tahun 2019. 

“Seluruh negara kini diuji dengan pandemik COVID-19, tidak terkecuali Malaysia. 

“Namun, usaha berterusan untuk memerangi ancaman wabak demam denggi juga perlu diberi keutamaan memandangkan kes denggi masih tinggi di negara kita,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Denggi ASEAN 2020, hari ini. 

Dengan tema ’10 Minit Hapuskan Aedes’, beliau berkata, ia bertujuan untuk mewujudkan komitmen dan kerjasama padu dari semua pihak termasuk masyarakat, jabatan, agensi kerajaan mahupun swasta untuk bersama-sama menangani masalah denggi. 

“Mesej yang ingin disampaikan adalah masyarakat perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes pada setiap minggu. 

“Tema ini juga selari dengan hala tuju KKM dalam pencegahan denggi yang memberikan penekanan kepada peranan komuniti untuk menjalankan aktiviti pemusnahan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di premis masing-masing secara kendiri,” katanya. 

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Dr Adham turut menyarankan individu dan masyarakat untuk terus melakukan aktiviti pencegahan denggi dengan mengutamakan penjarakan sosial, memakai pelitup hidung dan mulut serta kerap mencuci tangan dengan air atau menggunakan hand sanitizer. 

“KKM mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen bersepadu semua pihak termasuk masyarakat, di dalam usaha berterusan menangani masalah penularan demam denggi di negara ini. 

“Harapan kita adalah supaya usaha ini diteruskan demi memastikan rakyat di negara ini dapat menikmati tahap kehidupan yang berkualiti dan bebas dari ancaman demam denggi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close