Berita Utama

Hubungi PKD atau polis untuk sah kehadiran petugas kesihatan

Orang ramai perlu berhati-hati jika syak kehadiran pegawai KKM

PUTRAJAYA, 23 Syawal 1441H, Isnin – Orang ramai boleh menghubungi terus Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau polis sekiranya berasa sangsi terhadap kehadiran pegawai kesihatan di kawasan perumahan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata PKD sepatutnya dihubungi serta-merta dalam keadaan tersebut bagi mendapatkan kepastian sama ada pasukan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dihantar ke rumah-rumah tertentu.

“Kami memerlukan kerjasama dua pihak iaitu penghuni perlu berhati-hati dan berwaspada kalau mereka syak ataupun tidak pasti ada pegawai (KKM) yang datang ke rumah.

“Tetapi untuk warga kerja Kementerian Kesihatan, mereka juga perlu memakai pakaian yang telah ditentukan dan juga membawa kad kuasa dan ini yang kami galakkan untuk mereka mengikut peraturan-peraturan di Kementerian Kesihatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada gambar-gambar yang tular di media sosial berhubung kehadiran warga KKM di sebuah kawasan perumahan.

Menurut Dr Noor Hisham, kes tersebut merupakan satu saringan yang dilaksanakan KKM untuk kes-kes pesakit dalam siasatan (PUI) yang dikuarantin di rumah masing-masing.

“Kami (KKM) juga memberi perkhidmatan di rumah dan contohnya kalau jururawat-jururawat kami ke rumah untuk merawat ibu dan bayi… tetapi kes ini dah selesai, laporan polis telah dibuat dan siasatan telah dijalankan… kami sendiri pun tak pasti sama ada betul atau tidak kenyataan yang dikeluarkan di Facebook.

“Tetapi apa yang penting ialah kami melaksanakan siasatan terus. Jadi siasatan mendapati memang warga Kementerian Kesihatan tetapi kami mungkin boleh memperbaiki dua-dua pihak itu,” katanya.

Jelas beliau, petugas kesihatan KKM mungkin perlu menghubungi penghuni rumah terdahulu sebelum mereka hadir bagi urusan kesihatan. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close