Berita Utama

Lelaki mabuk didenda RM4,000

Tertuduh mengaku bersalah memandu ketika mabuk

KUALA LUMPUR, 23 Syawal 1441H, Isnin – Seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Trafik di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol, semalam.

Majistret Putri Nurshila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas Yeap Soon Yen, 38, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung dua tahun.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan jenis Mazda GL di bawah pengaruh alkohol iaitu 173 miligram (mg) di dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu melebihi had ditetapkan 80 mg di dalam 100 ml darah di Jalan Kuchai Lama di sini pada 11.30 malam, 14 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6,000 dan boleh dipenjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik Kuala Lumpur Inspektor Abdullah Khazali yang memohon hukuman sewajarnya kerana ia merupakan kesalahan kali kedua tertuduh, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menanggung keluarga.

Tertuduh membayar denda berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close