Berita UtamaIstimewa

Melayu bersatu buat DAP meroyan, terkubur ‘Malaysian Malaysia’

Tolak parti rasis, cauvinis biar mereka menang tak lebih 10 kerusi

BANGI, 23 Syawal 1441H, Isnin – Rakyat diingatkan supaya tidak lagi tertipu dengan parti tamak haloba, DAP yang menggunakan strategi pecah dan perintah untuk kekal berkuasa, kata Ketua Perhubungan Negeri Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka, Ustaz Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim. 

Beliau berkata, ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), walaupun majoriti Melayu 60 peratus, tetapi berpecah kepada beberapa penjuru menyebabkan DAP yang minoriti menang besar dan dominan mencatur kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Namun kini, katanya lagi, apabila parti rasis dan cauvinis itu hilang kuasa kerana penyatuan ummah, DAP terdesak menjaja perpecahan sesama Melayu menerusi kenyataan biadab serta hasutan pemimpinnya.

“DAP meroyan kerana agenda mereka untuk mengubah identiti negara kepada ‘Malaysian Malaysia’ telah terkubur hanya 22 bulan pemerintahan PH. 

“DAP mahu menghapuskan Melayu sebagai identiti dan sejarah negara ini, seolah-olah hanya ada ‘Malaysian’, sedangkan ini adalah tanah Melayu yang berdaulat sejarahnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Atas sebab itu, Ustaz Mohd Khoushaini berkata, majoriti rakyat Malaysia menolak konsep berkenaan kerana Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang mana Islam, Melayu dan raja menjadi teras Perlembagaan yang akan sentiasa dipertahankan. 

“Semasa DAP mencatur kerajaan PH kita lihat banyak isu-isu hangat yang mengguris perasaan orang Melayu contohnya pengiktirafan UEC yang dibawa Dong Zong, penghinaan tulisan Jawi, pengedaran arak, kedaulatan raja, kemasukan pelancong China secara haram dan sebagainya. 

“DAP konsisten tidak suka kepada identiti Islam dan Melayu. Lebih daripada itu, mana mungkin DAP akan menjaga kebajikan dan ekonomi orang Melayu sebagai majoriti penduduk negara ini? 

“Lebih teruk lagi, negara telah terjebak kepada penambahan hutang kerana urus tadbir menteri-menteri DAP yang tidak kompeten,” katanya. 

Justeru, beliau mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya memperjuangkan agenda Melayu dan Islam serta menjaga kesepakatan majoriti orang Melayu jika mahu kekal berkuasa. 

“Jika tidak, mereka juga akan menerima nasib yang sama, perpecahan dalaman dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan. 

“Para pengundi yang bijak menilai diseru tidak lagi mengundi wakil rakyat DAP setelah kerosakan negara yang telah mereka lakukan. Kita harap DAP terus ditolak sehingga mereka hanya mampu menang tak lebih 10 kerusi dalam PRU akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button