Berita Utama

Parti Melayu kena tolak ansur jika mahu terus dominasi kepimpinan negara

Boleh tersungkur lagi jika elit politik masih pertahan ego

BANGI, 23 Syawal 1441H, Isnin – Kesemua parti politik Melayu disarankan untuk bertolak ansur sekiranya mahu bangsa berkenaan terus mendominasi kepimpinan negara.

Presiden Angkatan Karyawan Negara (Akar), Ab Jalil Backer berkata, kemenangan pilihan raya umum (PRU) akan datang sangat memerlukan pengorbanan dan sikap rendah diri dalam kalangan para pemimpin.

“Adakah BN (Barisan Nasional) sebagai satu entiti tanpa Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PAS boleh menang PRU akan datang?

“Boleh. Namun ia memerlukan satu pengorbanan besar dari kepimpinan parti. Ini tampak sukar berlaku atas pelbagai faktor dan ego,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai taawun siyasi antara UMNO dan PAS, Ab Jalil berkata, kerjasama itu memerlukan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Beliau berkata, gabungan Muafakat Nasional (MN) antara kedua-dua parti itu menyasarkan untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai oleh DAP.

“Hari ini DAP telah jatuh. PAS dan BN menyertai kerajaan. Apakah kerjasama masih kukuh atau PAS kini mempunyai pilihan lain?

“Misalnya, apakah PAS akan membuat pilihan baharu bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin atau kekal bersama Muafakat Nasional? Semua ini akan dibuat berdasarkan perkiraan untung rugi persepsi politik dalam kalangan rakyat banyak.

“Membaca pelbagai kenyataan pimpinan PAS sejak beberapa minggu lalu, kelihatan mereka membuka ruang perbincangan dan perundingan,” katanya.

Selain itu, Ab Jalil berkata, BN juga mempunyai pilihan, di mana ia terpaksa berbahagi kerusi bersama-sama dua parti Melayu lain.

Beliau berkata, sekiranya Bersatu dan UMNO mengambil contoh sikap tolak ansur antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad maka peluang untuk menang dalam PRU akan datang lebih luas.

“Boleh sahaja semua bertanding atas tiket Barisan Nasional yang dipimpin UMNO dan membawa Muhyiddin sebagai calon PM.

“UMNO sebagai parti ahli terbanyak mempunyai kemampuan memilih mana-mana pilihan ini untuk menang PRU.

“Namun kita juga boleh tersungkur lagi jika elit-elit politik masih mahu mempertahankan ego masing-masing,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close