Berita Utama

Pemandu mabuk: PEMBELA selar pendirian tak konsisten Ka Siong

Ka Siong sifat tak perlu terburu-buru desak pemabuk dihukum mati

BANGI, 23 Syawal 1441H, Isnin – Pertubuhan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menempelak pendirian tidak tegas dan konsisten Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhubung cadangan hukuman mati ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian. 

Naib Pengerusi PEMBELA, Cikgu Izzat Johari kesal dengan pendirian Ka Siong yang meminta masyarakat tidak terburu-buru mendesak pemandu mabuk dikenakan hukuman mati. 

Menyelar menteri MCA itu, beliau berkata, ketika kes membabitkan pemandu mabuk sedang hangat diperkatakan rakyat, Ka Siong tampil kononnya akan mengkaji mengenai pindaan undang-undang sedia ada, tetapi minta masyarakat bertenang pula apabila kes reda. 

“Kami mahu pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian dihukum mati. Ayuh semua share sampai ke pengetahuan YAB Perdana Menteri Malaysia! Kalau perlu sampai ke pengetahuan YDPA,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Semalam, Ka Siong menegaskan masyarakat tidak harus terburu-buru mendesak pemandu mabuk dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. 

Katanya, walaupun masyarakat mendesak pemandu mabuk dikenakan hukuman itu, kementeriannya berpendapat kes membabitkan pemandu mabuk perlu mengikut lunas undang-undang. 

Mengikut undang-undang sedia ada, inidividu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button