Berita UtamaDunia

Zionis serang Gaza lagi, 20 termasuk 9 kanak-kanak Palestin terkorban

Rejim penjajah terus bertindak ganas di Masjid Al-Aqsa, Sheikh Jarrah

BAITULMAQDIS, 29 Ramadan 1442H, Selasa – Sekurang-kurangnya 20 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara oleh pengganas Israel di Semenanjung Gaza semalam.

Menteri Kesihatan Gaza mengesahkan, 20 orang awam terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak dan sekurang-kurangnya 65 yang lain cedera dalam serangan terbaru itu.

Serangan itu dilancarkan rejim Israel selepas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menuntut negara penjajah itu menarik tentera mereka dari perkarangan Masjid Al-Aqsa dan daerah Baitulmaqdis Timur, Sheikh Jarrah.

Sebelum ini, Hamas melancarkan serangan roket dari Gaza sebagai satu tindak balas terhadap tindakan ganas Israel di Sheikh Jarrah dan di sekitar Masjid Al-Aqsa.

“Ini adalah mesej yang harus difahami musuh dengan baik,” kata jurucakap sayap ketenteraan Hamas, Abu Obeida.

Beliau memberi amaran susulan tindakan biadab tentera Israel memasuki semula perkarangan Masjid Al-Aqsa atau melakukan pengusiran paksa terhadap keluarga Palestin dari kawasan kejiranan Baitulmaqdis Timur.

Awal pagi Isnin, ketegangan di perkarangan tempat ketiga paling suci bagi umat Islam meningkat selepas polis Israel menyerbu masjid, melepaskan tembakan gas pemedih mata, peluru getah dan bom tangan kepada jemaah Palestin.

Dalam serangan itu, lebih daripada 300 penduduk Palestin cedera bahkan menurut Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin, seramai 228 orang ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Serangan semalam berlaku beberapa minggu selepas serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin pada setiap malam di Kota Lama Baitulmaqdis.

Sabtu lalu, lebih daripada 250 orang awam cedera selepas tentera Israel menceroboh masuk Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam sedang beribadah dalam 10 malam terakhir bulan Ramadan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button