Berita Utama

PRK Chini: Tiada ceramah, ziarah dibenarkan sepanjang kempen

SPR guna pakai SOP khas sepanjang PRK selaras dengan PKPPP

BANGI, 23 Syawal 1441H, Isnin – Satu prosedur operasi standard (SOP) khas untuk pilihan raya akan diguna pakai sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa. 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya mengutamakan pematuhan kepada penjarakan sosial, pemakaian pelitup hidung dan mulut, penggunaan pensanitasi tangan dan proses saringan suhu badan. 

Beliau berkata, SOP khas itu akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses pilihan raya iaitu taklimat petugas, proses penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi serta penjumlahan rasmi undi. 

“Proses penyerahan borang Kertas Penamaan akan berlangsung seperti mana proses penamaan calon sebelum ini namun semua calon tidak lagi dibenarkan berarak bersama para penyokong masing-masing atau mengadakan sebarang aktiviti berkumpulan. 

“Hanya calon, seorang pencadang dan seorang penyokong calon sahaja dibenarkan memasuki pusat penamaan calon,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Azhar berkata, langkah itu bagi meminima perhimpunan orang ramai serta mengurangkan risiko penularan wabak di sekitar pusat penamaan calon. 

Kata beliau lagi, SOP yang sama juga perlu dipatuhi oleh semua calon ketika berada di pusat penjumlahan rasmi undi, dan pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi memantau pematuhan itu. 

“Bagi tempoh berkempen pula, calon atau parti hanya dibenarkan untuk membuka satu Bilik Jawatankuasa (Bilik Gerakan Utama) dan tiada Bilik Gerakan Kecil atau tempat perkumpulan lain bagi atau parti dibenarkan. 

“Bagi mematuhi penjarakan sosial, tiada ceramah yang menghimpunkan orang ramai dibenarkan. Begitu juga aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, calon boleh memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium atas talian atau melalui saluran media sosial. 

“SPR melalui tiga Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya (PPKPR) akan memantau semua aktiviti calon ketika berkempen termasuk pematuhan terhadap SOP khas ini. 

“Pada hari mengundi, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan akan melalui proses saringan suhu badan,” katanya. 

Azhar berkata, pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan. 

“Berhubung pesakit positif COVID-19, individu yang diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan, SPR akan mengumumkan maklumat lanjut berhubung pengundian melibatkan individu daripada kategori tersebut dalam masa terdekat.  

“SPR akan mengemaskini SOP ini selaras dengan apa-apa arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button