Berita Utama

Pusat panggilan judi dalam talian diserbu, 15 warga China ditahan

Peroleh keuntungan harian antara RM150,000 hingga RM200,000

PETALING JAYA, 23 Syawal 1441H, Isnin – Polis menahan 15 warga China termasuk tiga wanita selepas menyerbu sebuah banglo di Kelana Jaya di sini, tengah hari tadi, yang dipercayai dijadikan pusat operasi judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata polis turut merampas 11 set komputer dan 57 telefon bimbit yang digunakan untuk mempromosi kegiatan berkenaan, dalam serbuan pada pukul 12 tengah hari itu.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini menganjurkan permainan judi serta pertaruhan dalam talian dengan menyasarkan pelanggan dari Kanada pada sebelah pagi, manakala pada sebelah petang pelanggan dari China,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan hari ini.

Beliau berkata siasatan turut mendapati kesemua suspek yang berumur di antara 21-50 tahun itu dipercayai masuk ke negara ini pada Oktober tahun lepas sebelum melakukan kegiatan judi dua bulan kemudian dengan gaji RM5,000 sehari, dan menurutnya sindiket ini dipercayai memperoleh keuntungan harian antara RM150,000 hingga RM200,000 sehari.

Nik Ezanee berkata kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka.

Sementara itu di KEPALA BATAS, seorang jurutera grafik mengalami kerugian RM19,998 akibat terperdaya dengan sindiket Macau Scam, selepas wanita itu ditipu kononnya dia mempunyai tunggakan cukai dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan perlu menjelaskannya secepat mungkin, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pada mulanya wanita berusia 27 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki kononnya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan dia mempunyai syarikat dan mempunyai tunggakan cukai LHDN.

Beliau berkata selepas beberapa perbualan telefon berikutnya, wanita itu diminta memuat turun satu aplikasi, kononnya daripada Bank Negara Malaysia (BNM), dan mengisi pelbagai maklumat peribadi serta maklumat perbankan beliau.

Menurutnya wanita itu hanya menyedari dia ditipu sindiket Macau Scam apabila dia tidak dapat masuk ke dalam talian akaun bank miliknya kerana kata laluan telah ditukar tanpa pengetahuannya, dan selepas disemak dengan pihak bank, dia mendapati wang simpanannya RM19,998 telah dipindahkan ke akaun lain yang tidak dikenalinya.

“Dia kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam dan kami kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan pemilik akaun yang digunakan memindahkan wang dari akuan milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket Macau Scam yang membuat panggilan palsu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button