Berita Utama

Sistem syif di klinik kesihatan ambil kira sumber manusia

Dapat kurangkan kesesakan, memanjangkan waktu perkhidmatan

PUTRAJAYA, 23 Syawal 1441H, Isnin – Cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan sistem syif di klinik kesihatan seluruh negara akan mengambil kira sumber manusia dan pertambahan jawatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata cadangan itu dilihat KKM untuk mengurangkan kesesakan dan memanjangkan waktu perkhidmatan.

“Tetapi sebelum pelaksanaan kita perlu lihat kepada sumber manusia warga KKM dan pertambahan jawatan supaya dapat melaksanakan dua syif. Jadi kita kena lihat dan akan dilaksanakan cara perintis dahulu untuk beberapa klinik kesihatan dan keperluan di klinik itu,” katanya dalam sidang media COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang meminta KKM menangguhkan usaha melaksanakan sistem syif di klinik kesihatan sehingga perbincangan bersama kesatuan dan pihak berkepentingan diadakan.

Dr Noor Hisham berkata KKM amat memahami kesukaran melaksanakan dua syif dengan sumber manusia sedia ada di mana pegawai kesihatan itu terpaksa bertugas dari pagi sehingga malam.

“Yang penting kena melihat kepada pelaksanaan… isu ini ialah isu pelaksanaan. Cadangan itu baik tetapi isu pelaksanaan harus diketengahkan dan berbincang dengan agensi-agensi yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, mengenai kes positif COVID-19 melibatkan seorang tukang gunting rambut warga Pakistan di ibu negara, Dr Noor Hisham berkata seramai 31 kontak rapat telah disaring dengan 29 didapati negatif dan dua lagi masih menunggu keputusan.

“Kita dah laksana ujian, 29 didapati negatif dan dua lagi masih menunggu keputusan jadi setakat ini kita tiada kluster gunting rambut, hanya ada satu kes positif,” katanya.

Ditanya kes kematian lelaki warganegara India semalam di depot tahanan imigresen Bukit Jalil pula, Dr Noor Hisham berkata walaupun didapati positif COVID-19 namun bedah siasat tetap dijalankan bagi melihat sama ada pesakit meninggal dunia kerana COVID-19 atau penyakit lain.

Beliau berkata siasatan kematian juga mengambil kira kepada perawatan di depot tahanan sama ada pesakit mengambil ubat-ubatan yang diberikan ataupun ada jangkitan kuman yang lain.

“Bedah siasat telah dijalankan, sampel telah diambil untuk kajian dan setakat ini ia masih belum didapati (keputusan),” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button