Berita Utama

UKPO masih kukuh walau 2 ADUN keluar parti

Akan terus main peranan dalam kerajaan campuran Sabah

KOTA KINABALU, 23 Syawal 1441H, Isnin – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) masih kukuh walaupun dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar daripada parti itu hari ini, kata Presidennya Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata UPKO akan terus memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi dalam kerajaan campuran Sabah.

“Kami menghormati keputusan mereka untuk meninggalkan UPKO seperti yang mereka umumkan. Untuk ketika ini, kami belum mendapat apa-apa pemberitahuan secara rasmi atau bertulis. Yang jelas, setelah menghubungi pemimpin kami di lapangan, UPKO tidaklah terjejas sangat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Madius, yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, mengulas tindakan Naib Presiden UPKO Datuk Limus Jury dan Ahli Majlis Tertinggi UPKO Datuk James Ratib yang mengumumkan perletakan jawatan dan keahlian mereka daripada UPKO dalam satu sidang akhbar pagi tadi.

Limus adalah Ketua UPKO Bahagian Beaufort dan ADUN Kuala Penyu manakala James ialah ADUN Sugut yang memenangi kerusi itu atas tiket UMNO pada pilihan raya umum ke-14 pada 2018 sebelum menyertai UPKO.

Sementara itu, Madius berkata Timbalan Ketua UPKO Bahagian Beaufort, Nelson W Angang yang juga Setiausaha Agung UPKO telah diminta menjalankan tugas sebagai pemangku ketua bahagian berkuat kuasa serta merta.

Beliau berkata UPKO Beluran di bawah kepimpinan Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang kekal mantap kerana James tidak memegang apa-apa jawatan dalam bahagian itu.

“Apa pun, saya akan memanggil satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UPKO dalam sehari dua ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button