Berita Utama

UMNO akan ditolak sekali lagi jika abaikan agama, bangsa

UMNO bukan talian hayat untuk selamatkan parti, pemimpin politik

BANGI, 23 Syawal 1441H, Isnin – UMNO bukan talian hayat untuk menyelamatkan mana-mana parti, ahli politik atau pemimpin, sebaliknya ia talian hayat untuk orang Melayu, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan yang meminta UMNO berkorban demi kestabilan Perikatan Nasional (PN). 

Mohd Khaled berkata, kenyataan Wan Saiful itu kerana beliau tahu hanya UMNO dan PAS yang boleh menyelamatkan Bersatu. 

“Benar, UMNO adalah parti yang sedia berkorban untuk rakan politiknya. Tetapi, setelah UMNO tewas PRU-14, UMNO dewasa dengan pengalaman. 

“UMNO kenal benar siapa lawan dan siapa kawan. UMNO tahu siapa yang bersetia dengannya dan siapa yang sekadar mencari kehidupan dan keuntungan sahaja dari UMNO,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mohd Khaled menegaskan, parti itu kini hanya memilih untuk berkorban demi agama, bangsa Melayu dan tanah air dan mengakui jika ia diabaikan, UMNO akan sekali lagi ditolak rakyat Malaysia. 

Justeru, katanya, Bersatu yang harus berkorban dan bekerja untuk membangunkan kekuatannya sendiri terlebih dahulu sebelum PN boleh dikuatkan dan bukan menuntut pengorbanan dari UMNO. 

“Untuk menjadi rakan strategik UMNO, PPBM mesti mempunyai kekuatan tersendiri yang akan menghasilkan manfaat menang-menang kepada UMNO. 

“UMNO tidak akan berkorban untuk memberi nyawa kepada mereka yang meninggalkan UMNO semasa parti ini tewas dan terjatuh parah. Kepada mereka ini, UMNO mungkin memaafkan tetapi tidak akan melupakan. 

“UMNO telah membuka ruang kepada PPBM menyertai misi besarnya. Ini ajakan ikhlas dan tulus. Mungkin sudah tiba masanya, PPBM yang perlu berkorban demi orang Melayu dengan menyertai UMNO dan bersama-sama menguatkan BN,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button