COVID-19: 333 pulih, 11 kes baharu
Kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 651: Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 24 Syawal 1441H, Selasa – Seramai 333 individu pulih daripada COVID-19 dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya 7,733 kes iaitu 90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah individu yang pulih itu, 307 daripadanya merupakan bukan warganegara, manakala 26 kes dalam kalangan warganegara.
Sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 11 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,505 kes.
Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 651 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Ingin dimaklumkan daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 10 kes penularan di dalam negara, enam kes adalah bukan warganegara, manakala empat kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, bagi jangkitan dalam negara membabitkan bukan warganegara ia merupakan satu kes saringan untuk masuk kerja, manakala satu kes direkodkan melalui kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2.
“Empat kes direkodkan di Negeri Sembilan iaitu tiga kes melibatkan kluster Pedas, manakala satu kes kluster syarikat pembersihan,” katanya.
Bagi kes penularan COVID-19 dalam negara melibatkan warganegara, satu kes dicatatkan melalui saringan prapembedahan di Hospital Putrajaya, dan kemudian dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh manakala tiga lagi merupakan ahli keluarga kepada kes positif COVID-19 (ke-8,453).
Beliau berkata, sehingga kini sebanyak empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, dengan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes iaitu 1.42 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.
Sementara itu, Dr Noor Hisham mengulangi kebimbangan KKM akan peningkatan kes demam denggi secara berterusan, iaitu dengan purata peningkatan sebanyak lapan peratus setiap minggu.
Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk meluangkan masa 10 minit untuk menghapuskan Aedes, dengan membersihkan persekitaran dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes, demi menyelamatkan nyawa sendiri dan orang tersayang.
“15 Jun 2020 merupakan Hari Denggi ASEAN ke-10 yang disambut pada setiap 15 Jun. Tema pada tahun ini ialah ‘10 minit Hapuskan Aedes’. Tema ini bertujuan untuk meningkatkan peranan setiap individu dan masyarakat, dalam mencegah penyakit demam denggi dengan melakukan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan Aedes di premis masing-masing.
“Ini boleh dilaksanakan dengan turut mengamalkan normal baharu seperti jarakan sosial iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada individu lain, memakai pelitup muka ketika menjalankan aktiviti dan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun,” katanya. -Bernama