Berita Utama

Elak MyKad palsu, kenalkan versi baharu

Hadkan tempoh tertentu, tambah baik ciri keselamatan

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 24 Syawal 1441H, Selasa – Kerajaan perlu memberi perhatian cadangan dari NGO supaya menukarkan kad pengenalan baharu bagi mengekang isu pemalsuan MyKad dalam kalangan warga asing di negara ini.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Hussin Awang Ngah berkata, tempoh pembaharuan itu perlu dihadkan dalam jangka masa tertentu.

“Sebagai contoh, MyKad perlu diperbaharui dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

“MyKad yang ada sekarang diberi dalam tempoh panjang dan apabila ia berlaku, orang lain akan mempunyai banyak kaedah untuk meniru pembuatannya.

“Malah, ciri-ciri keselamatan dalam MyKad juga perlu ditambah baik dan diperketatkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan berkenaan lapan warganegara Indonesia boleh memperoleh kad pengenalan palsu dengan hanya membayar RM200 hingga RM300.

Siasatan awal mendapati lapan kad pengenalan yang diserahkan adalah palsu dan suspek mengaku bahawa memperoleh kad itu daripada individu berasingan yang tidak dikenali kira-kira setahun lalu.

Mengulas mengenai perkara itu, Hussin tidak menolak kemungkinan bahawa sumber warga Indonesia mendapatkan MyKad palsu adalah daripada ‘orang dalam’ Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sendiri.

Ini kerana, katanya, JPN adalah tempat untuk mengeluarkan MyKad.

“Namun, dari segi kaedah dan caranya kita tidak pasti. Malah, ada ejen tertentu untuk mendapatkan MyKad palsu.

“Jadi, pihak penguatkuasa perlu menjalankan tugas dengan betul dan kerajaan PN (Perikatan Nasional) juga perlu banteras perkara ini dari dalam” katanya.

Terdahulu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) konsisten mendesak kerajaan mempertimbangkan cadangan menukarkan kad pengenalan baharu.

Naib Pengerusinya, Cikgu Izzat Johari berkata, penghasilan MyKad baharu bukan sekadar sekeping kad tetapi bakal menyelesaikan masalah lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan migran yang semakin berleluasa akibat sindiket di Malaysia.

“Isu pemalsuan MyKad semakin menjadi-jadi, malah saya yakin ramai lagi yang sudah ada MyKad palsu di luar sana.

“Semakin hari semakin banyak penyelewengan dalam proses MyKad sedia ada malah semakin lama semakin banyak PATI dalam Malaysia yang terlepas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close