Berita Utama

Gugur Eric Paulsen tepat, gantikan individu junjung tinggi teras negara

Panel lantik Eric termasuk menteri juga patut kena tindakan

BANGI, 24 Syawal 1441H, Rabu – Keputusan menggugurkan Eric Paulsen dari Majlis Perundangan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) adalah tepat, sekali gus membuktikan kerajaan mendengar suara hati rakyat.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim mengingatkan lantikan individu sealiran Eric tidak seharusnya berulang kerana akan mengurangkan keyakinan pada agensi berkenaan.

Katanya, individu yang patut dipilih menggantikan Eric perlulah menjunjung tinggi teras negara – agama Islam, bangsa Melayu dan kedaulatan institusi Diraja.

“Umat Islam boleh menarik nafas lega. Sememangnya tidak boleh diterima akal seorang yang menghina Islam dan mengatakan JAKIM (Jabatan Agama Islam Malaysia) ekstremis tiba-tiba dipanggil masuk menganggotai Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia.

“Seharusnya, panel yang melantik termasuk menteri berkenaan patut dikenakan amaran atau diambil tindakan atas kecuaian yang seperti disengajakan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selepas desakan bertalu-talu dari NGO-NGO, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini mengumumkan Eric tidak lagi menjadi Ahli MPKM.

Kementerian dalam kenyataan itu berkata, keputusan itu tidak akan menjejaskan fungsi MPKM, yang baru ditubuhkan pada 9 Jun.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan penubuhan MPKM sebagai satu platform bagi kerajaan membincang dan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia.

MPKM dipengerusikan oleh menteri dan dianggotai 15 ahli yang merangkumi pengurusan tertinggi KKMM, wakil-wakil dari masyarakat sivil, ahli akademik, badan pemikir, pakar sesuatu bidang, badan profesional, badan perniagaan dan sebagainya.

Bagaimanapun, pelantikan baharu Eric di bawah kementerian komunikasi mendapat bantahan dan tentangan banyak pihak termasuk ISMA, Pertubuhan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA).

Eric terkenal dengan kelantangan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Islam dan institusi Islam.

Beliau pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan di media sosial mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis.

Kenyataan beliau yang menuduh Jakim menyebarkan fahaman itu pada setiap Jumaat dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.

Eric juga pernah mengkritik pelaksanaan undang-undang hudud sebagai tidak berpelembagaan, zalim dan tidak sesuai pada zaman moden.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button